23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
DUNIA

Ribuan rakyat Sepanyol penuhi Madrid tuntut penghentian perang di Gaza

Astro Awani 05/10/2025 | 00:15 MYT
Penunjuk perasaan menyertai demonstrasi sebagai sokongan kepada rakyat Palestin dan bagi mengecam tindakan pasukan Israel yang memintas kapal-kapal Global Sumud Flotilla. - Foto REUTERS
MADRID: Puluhan ribu rakyat Sepanyol membanjiri pusat bandar Madrid pada Sabtu dalam demonstrasi besar-besaran menuntut gencatan senjata segera dan pengakhiran perang di Gaza, sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.


Ringkasan AI
  • Lebih 50,000 rakyat Sepanyol berhimpun di pusat Madrid menuntut gencatan senjata segera dan pengakhiran perang di Gaza, disertai ribuan lagi di lebih 90 bandar seluruh negara.
  • Penganjur dan peserta menggesa kerajaan Sepanyol memutuskan semua hubungan dengan Israel serta menyokong tindakan undang-undang atas dakwaan genosid.
  • Demonstrasi dianjurkan oleh lebih 100 organisasi masyarakat sivil, dengan peserta membawa bendera Palestin dan Afrika Selatan sebagai simbol sokongan terhadap perjuangan rakyat Gaza.


Perhimpunan yang dianjurkan oleh Rangkaian Solidariti Menentang Pendudukan Palestin (RESCOP), melibatkan lebih 100 organisasi masyarakat sivil, menyaksikan peserta membawa sepanduk bertulis “Hentikan Genosid”, “Bebaskan Palestin”, dan “Tidak atas nama kami”.

Ramai juga melaungkan slogan seperti “Gencatan senjata sekarang” dan “Israel membunuh, Eropah menaja”.

Menurut penganjur, lebih 50,000 orang menyertai demonstrasi di Madrid, manakala ribuan lagi berhimpun di lebih 90 bandar lain di seluruh Sepanyol.

Ada peserta turut membawa bendera Palestin dan Afrika Selatan, sebagai sokongan terhadap tindakan undang-undang yang difailkan oleh Pretoria terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Fernando Gallardo, seorang peserta berusia 49 tahun, menyifatkan serangan ke atas hospital dan orang awam sebagai “kejam” dan menegaskan bahawa “tiada manusia yang waras boleh berdiam diri”.

Seorang lagi peserta, Aida Rodríguez, berkata dunia tidak boleh lagi menutup mata terhadap penderitaan rakyat Gaza.

Penganjur turut menggesa kerajaan Sepanyol agar memutuskan semua hubungan politik, ekonomi, budaya dan sukan dengan Israel, serta menyertai tuntutan undang-undang terhadap Tel Aviv atas dakwaan genosid.

Demonstrasi ini berlangsung ketika perang di Gaza memasuki tahun kedua, dengan lebih 67,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dan ratusan ribu lagi cedera atau kehilangan tempat tinggal.







#demonstrasi #Gaza #gencatan senjata #pengakhiran perang