Ribuan rakyat Thailand beri penghormatan terakhir kepada Bonda Ratu Sirikit

Ramai rakyat yang berkabung dilihat memegang potret Bonda Ratu ketika jasad baginda dibawa dalam perarakan diraja dari hospital ke Grand Palace. - AP
BANGKOK: Ribuan rakyat Thailand berpakaian hitam dan putih berkumpul di sepanjang laluan dari Hospital Peringatan Raja Chulalongkorn ke Dewan Takhta Dusit Maha Prasat di dalam Grand Palace pada Ahad untuk menzahirkan kesetiaan dan memberi penghormatan terakhir kepada Bonda Ratu, Ratu Sirikit.
Ramai rakyat yang berkabung dilihat memegang potret Bonda Ratu ketika jasad baginda dibawa dalam perarakan diraja dari hospital ke Grand Palace.
Ratu Sirikit mangkat pada petang Jumaat pada usia 93 tahun.
Jasad Ratu Sirikit dibawa menaiki sebuah van di tengah-tengah perarakan diraja yang meninggalkan Hospital Peringatan Raja Chulalongkorn sekitar 4 petang dan melalui laluan sejauh 10 kilometer sebelum tiba di Grand Palace kira-kira 5 petang.
Saengchan Kalantanon, 72, yang berdiri di tepi jalan berhampiran Grand Palace, berkata sebaik sahaja mendengar pengumuman Biro Istana Diraja Thailand mengenai kemangkatan baginda, beliau segera berasa terpanggil untuk memberi penghormatan terakhir di hadapan bekas abu mayat diraja bagi mengenang jasa dan budi baginda yang tiada tandingan.
Beliau berkata dua cucunya turut menemaninya menunggu di Sanam Luang sejak Sabtu malam dengan harapan dapat menyaksikan perarakan diraja dan memberi penghormatan dari dekat.
"Saya hanya seorang warga emas yang datang awal... tetapi ramai lagi yang datang dari jauh dan tiba lebih awal daripada saya. Ini benar-benar menunjukkan kesetiaan dan kasih yang mendalam rakyat Thailand," katanya kepada Bernama.
Beliau menambah bahawa semasa istiadat persemadian diraja bagi mendiang Raja Bhumibol Adulyadej, beliau dan keluarganya juga hadir untuk menyaksikan perarakan diraja dan memberi penghormatan terakhir di hadapan bekas abu mayat diraja.
Seorang lagi rakyat yang hadir, Waraporn Thongnak, 20, dari wilayah Sing Buri, berkata walaupun tidak pernah melihat atau menemui baginda secara peribadi, beliau mengetahui jasa dan sumbangan Bonda Ratu melalui pendidikan rasmi yang diterimanya semasa di sekolah.
"Melalui pembelajaran itulah, saya membina rasa kekaguman terhadap baginda. Saya amat kagum dengan usaha baginda melalui pusat kraftangan SUPPORT Foundation seperti tenunan dan anyaman bakul. Saya masih ingat guru saya mengajar kami tentang usaha baginda memelihara dan mempromosikan ketukangan Thai," katanya.
Biro Istana Diraja Thailand pada Ahad mengumumkan bahawa orang awam boleh memberi penghormatan di hadapan potret Bonda Ratu dan menandatangani buku takziah di Pavilion Sahathai Samakhom di Grand Palace.
Mulai 9 Nov, orang awam boleh memberi penghormatan di hadapan bekas abu mayat diraja Bonda Ratu, Ratu Sirikit di Dewan Takhta Dusit Maha Prasat antara 9 pagi hingga 9 malam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


