Skip to main content

Dunia

Ribuan sertai perhimpunan Hari al-Quds di Tehran tanda solidariti kepada Palestin

Iranians take part in a protest marking the annual al-Quds Day (Jerusalem Day) on the last Friday of the holy month of Ramadan, amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, in Tehran, Iran, March 13, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY TPX IMAGES OF THE DAY
Ribuan rakyat Iran berhimpun di Tehran pada Hari al-Quds bagi menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin, meskipun negara itu terus berdepan siri serangan dari Amerika Syarikat dan Israel. - Gambar Reuters

TEHRAN: Ribuan rakyat Iran berhimpun di Tehran pada Hari al-Quds bagi menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin, meskipun negara itu terus berdepan siri serangan dari Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Menurut media kerajaan Iran, sekurang-kurangnya seorang wanita maut selepas beberapa letupan kedengaran berhampiran laluan perarakan di Dataran Ferdowsi pada Jumaat. 

Advertisement

Punca letupan belum dikenal pasti, namun ia berlaku tidak lama selepas Israel mengeluarkan amaran supaya orang ramai mengosongkan kawasan berkenaan sebelum serangan dirancang dilancarkan.

Press TV melaporkan, mangsa terbunuh akibat serpihan letupan dalam apa yang digambarkan sebagai serangan udara AS-Israel, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Perhimpunan itu berlangsung sehari selepas Pemimpin Agung baharu Iran, Mojtaba Khamenei, berikrar bahawa negara itu akan terus bertahan dan melawan serangan besar-besaran AS-Israel.

Setakat data terkini Kementerian Kesihatan Iran, 1,444 orang terbunuh dan 18,551 cedera sejak perang bermula pada 28 Februari.

AS dan Israel menunjukkan tiada tanda untuk menghentikan serangan mereka, meskipun tekanan antarabangsa semakin meningkat agar konflik diredakan.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu dan dron ke sasaran di seluruh Asia Barat serta menutup Selat Hormuz - laluan penting dunia yang menampung kira-kira satu perlima penghantaran minyak global.

Pada Jumaat, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) berkata, mereka melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Israel bersama sekutu mereka, Hezbollah dari Lubnan. 

Serangan itu menggunakan sejumlah besar peluru berpandu bahan api pepejal “Kheibar Shekan.”

Suasana di lapangan: - rakyat tunjuk keteguhan

Wartawan Al Jazeera melaporkan, perhimpunan itu bukan sahaja bagi menyatakan sokongan kepada Palestin, tetapi juga simbol penentangan rakyat Iran terhadap serangan berterusan AS-Israel.

Seorang wanita yang ditemui berkata: “Mereka fikir dengan membunuh kami atau menjatuhkan bom, kami akan takut. Tidak. Kami berdiri bersama negara kami.”

Seorang lagi penunjuk perasaan menyatakan bahawa Iran telah membuktikan “tembok kezaliman boleh dipecahkan.”

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, turut hadir dalam perhimpunan itu bersama pegawai tertinggi negara termasuk Ali Larijani, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi.

Sehari sebelum itu, Pezeshkian menyeru rakyat supaya keluar beramai-ramai untuk “mengecewakan musuh Iran.” - Agensi

Must Watch Video