[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
INTERNATIONAL

Ribuan sertai perhimpunan sokong kerajaan

Astro Awani 13/04/2025 | 00:15 MYT
Perhimpunan ini juga berfungsi sebagai platform untuk memperkenalkan gerakan politik baharu yang diterajui oleh Parti Progresif Serbia (SNS). - Foto AP
BELGRADE: Ribuan penyokong kerajaan dari beberapa bandar di Serbia, Kosovo dan Bosnia tiba dengan menaiki bas bagi menyertai perhimpunan sokongan terhadap Presiden Aleksandar Vucic, yang kini berdepan tekanan akibat protes antirasuah berpanjangan.
Perhimpunan ini dilihat sebagai tindak balas presiden terhadap protes besar-besaran pada 15 Mac lalu yang menyaksikan kehadiran lebih 100,000 penunjuk perasaan, menjadikannya antara demonstrasi terbesar dalam sejarah moden Serbia.
Gelombang protes bermula selepas bumbung sebuah stesen kereta api runtuh, meragut 16 nyawa dan mencetuskan tuduhan serius terhadap pentadbiran negara berhubung isu rasuah dan kecuaian pengurusan infrastruktur.
Protes ini kini disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, guru dan petani, sekali gus menambah cabaran kepada Vucic, seorang pemimpin populis yang telah menerajui kerajaan Serbia selama 12 tahun sebagai Perdana Menteri dan Presiden.
Perhimpunan ini juga berfungsi sebagai platform untuk memperkenalkan gerakan politik baharu yang diterajui oleh Parti Progresif Serbia (SNS) pimpinan Vucic, yang dijangka bakal merangkumi beberapa parti lain dalam gabungan pemerintah, walaupun pelancarannya masih belum diumumkan secara rasmi.
Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, turut memberikan sokongan kepada Vucic menerusi ucapan video yang disiarkan semasa perhimpunan dan menyatakan bahawa para pejuang Serbia boleh terus bergantung kepada sokongan penuh Hungary.
#perhimpunan #sokong kerajaan #Aleksandar Vucic #protes antirasuah