DUNIA

Ribut bawa risiko banjir, ancam khemah uzur tempatkan ratusan ribu rakyat Palestin

Bernama 14/11/2025 | 14:12 MYT
Pertahanan Awam Gaza mengeluarkan beberapa garis panduan dan amaran mendesak kepada penduduk khususnya mereka yang berlindung dalam khemah. - AP
BANDAR GAZA: Penderitaan ratusan ribu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza semakin meruncing apabila cuaca yang disertai hujan dan udara sejuk mula melanda kawasan itu pada awal pagi Jumaat, di tengah-tengah amaran mengenai risiko banjir serta kemungkinan runtuhan khemah dan pusat perlindungan yang sudah uzur, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut Jabatan Meteorologi Palestin, negara itu kini terjejas oleh sistem tekanan rendah yang disertai jisim udara sejuk serta hujan lebat, kadangkala disertai ribut petir.

Pertahanan Awam Gaza mengeluarkan beberapa garis panduan dan amaran mendesak kepada penduduk khususnya mereka yang berlindung dalam khemah, agar mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan bahaya banjir dan runtuhan.

Dalam satu kenyataan, Pertahanan Awam menggesa rakyat Palestin memastikan khemah mereka diikat dengan kukuh, terutama di kawasan berhampiran pantai yang terdedah kepada angin kencang, serta membina benteng pasir bagi menghalang air laut daripada memasuki khemah.

Agensi itu turut menekankan kepentingan menjauhi bangunan yang dibom teruk dan tidak lagi sesuai didiami, "kerana dibimbangi ia mungkin terjejas dengan teruk akibat air hujan dan runtuh ke atas penduduk."

Pertahanan Awam juga memberi amaran agar tidak menyalakan api dalam khemah atau berhampiran bahan plastik dan fabrik bagi mengelakkan risiko kebakaran.

Ia menyeru supaya membuat "parit dan saluran antara khemah" pelarian untuk mengelakkan risiko banjir akibat air hujan.

Keluarga yang kehilangan tempat tinggal bimbang akan kesan ribut itu dan kemungkinan khemah serta barangan keperluan mereka yang terhad ditenggelami air, seperti yang berlaku dalam dua musim hujan sebelum ini, kedua-duanya ketika tempoh serangan Israel.

Dalam dua tahun lepas, khemah mereka juga pernah diterbangkan atau koyak akibat angin kencang, memburukkan lagi keadaan tanpa alternatif atau langkah perlindungan lain.

Disebabkan faktor cuaca dan kerosakan akibat serangan udara Israel, pejabat media Gaza menganggarkan 93 peratus khemah pelarian tidak lagi sesuai dijadikan tempat perlindungan - 125,000 daripada 135,000 keseluruhan khemah.

Alternatif masih belum tersedia di enklaf itu kerana sekatan Israel terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan.

Pihak berkuasa berkata Israel melanggar protokol kemanusiaan dalam perjanjian gencatan senjata yang dicapai bulan lalu, termasuk menghalang kemasukan bahan perlindungan seperti khemah dan rumah bergerak.

Fasa pertama perjanjian gencatan senjata, berdasarkan pelan 20 perkara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, merangkumi pembebasan tebusan Israel sebagai pertukaran dengan pembebasan tahanan Palestin.

Pelan itu turut merangkumi pembinaan semula Gaza dan penubuhan mekanisme pentadbiran baharu tanpa Hamas.

Israel membunuh lebih 69,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak di Gaza sejak Oktober 2023 dan memusnahkan kawasan itu.

-- BERNAMA


#Palestin #cuaca sejuk #hujan lebat #ribut petir #khemah penduduk #risiko keselamatan