Ribut Pabuk tinggalkan Thailand, lapangan terbang kembali beroperasi

Nursyazwani Saiful Sham
Januari 6, 2019 04:57 MYT
Pabuk yang bergerak pada kelajuan 75 kilometer sejam itu membawa hujan lebat dan angin kencang ke selatan Thailand dan telah menjejaskan bekalan elektrik serta mengakibatkan banjir di beberapa kawasan. Foto: REUTERS
RIBUT Tropika Pabuk telah meninggalkan wilayah Nakhon Si Tammarat, Thailand.
Walaupun beberapa kawasan telah reda dari ribut itu setakat Ahad, namun kediaman penduduk masih ditenggelami air.
Antara kawasan yang alami kerosakan teruk adalah daerah Pak Phangan dan Muang.
Pada Sabtu, kira-kira 30,000 penduduk dan pelancong asing terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara di selatan Thailand.
Pada masa sama, ribut tropika itu menyebabkan ramai pelancong terkandas di pulau pelancongan Koh Samui, Koh Phangan dan Koh Tao selepas lapangan terbang ditutup.
Setakat Ahad, menurut Ketua Daerah Koh Samui, Kittipop Roddon, dipetik sebagai berkata, tiada laporan kematian diterima dan beliau yakin pelancong sudah boleh meninggalkan semua pulau pelancongan terbabit kerana perkhidmatan feri serta lapangan terbang sudah kembali beroperasi.
Bagaimanapun, amaran merah masih dikeluarkan sekali gus melarang orang ramai daripada berenang di kawasan pantai.
#angin kencang #banjir #hujan lebat #Koh Samui #lapangan terbang #pabuk #ribut tropika pabuk #Thailand