Skip to main content

Dunia

Ribut pasir jejaskan kualiti udara di Beijing

Sumber: X/China in Pictures
Bandar raya Beijing dilanda angin kencang dan ribut pasir sejak petang Sabtu, sehingga menyebabkan pencemaran udara. - Foto X/China in Pictures

BEIJING: Bandar raya Beijing dilanda angin kencang dan ribut pasir sejak petang Sabtu, sehingga menyebabkan pencemaran udara, lapor Xinhua.

Menurut pihak berkuasa meteorologi bandar itu, tahap kepekatan PM10 melonjak dengan purata bacaan mencecah tahap pencemaran ringan iaitu 175 mikrogram setiap meter padu menjelang 2 petang Sabtu.

Advertisement

Kemuncak pencemaran dijangka melebihi 500 mikrogram setiap meter padu lewat Sabtu, sekali gus mencecah tahap pencemaran yang serius.

Pihak berkuasa telah menutup sementara beberapa kawasan pelancongan luar dan menangguhkan sebahagian aktiviti Tahun Baharu Cina dari petang Sabtu hingga pagi Ahad susulan amaran kuning bagi angin kencang dan amaran biru bagi ribut pasir yang kini berkuat kuasa.

Warga China sedang menikmati cuti selama sembilan hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Angin kencang dijangka semakin melemah di Beijing pada Isnin, yang merupakan hari terakhir cuti umum itu, menurut ramalan kaji cuaca.

Pentadbiran Meteorologi China pada Jumaat memaklumkan bahawa beberapa wilayah di utara dijangka mengalami angin kencang dan ribut pasir dari Jumaat hingga Ahad, dengan respons kecemasan Tahap 4 bagi bencana meteorologi utama telah diaktifkan.

Susulan fenomena angin kencang itu, perkhidmatan feri penumpang bagi laluan wilayah antara Liaoning dan Shandong digantung mulai 12.50 tengah hari Sabtu. Perkhidmatan dijangka disambung semula secara berperingkat pada Ahad, menurut pihak berkuasa maritim tempatan.

China mengamalkan sistem amaran cuaca empat peringkat dengan warna merah mewakili amaran paling serius, diikuti jingga, kuning, dan biru. Sistem respons kecemasan juga mempunyai empat peringkat dengan Tahap 1 sebagai yang paling serius.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video