DUNIA

Ribut salji terbesar di AS dijangka jejaskan 120 juta penduduk

Bernama 23/01/2026 | 13:59 MYT
Ribut dan salji diramalkan melanda negeri di bahagian selatan, sebahagian kawasan Midwest serta Pantai Timur, dengan kesan dijangka dirasai pada Ahad, termasuk di New York dan Washington. - Reuters
WASHINGTON: Jutaan rakyat Amerika Syarikat (AS) sedang bersiap sedia menghadapi apa yang mungkin menjadi antara ribut musim sejuk terbesar di negara itu dalam tempoh beberapa tahun, menurut amaran Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS dan laporan media pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Lebih 120 juta penduduk AS atau lebih sepertiga daripada keseluruhan populasi negara itu - berkemungkinan terjejas hujung minggu ini, menurut ABC News.

Ribut itu dijangka merentasi lebih 3,000 kilometer di seluruh negara, lapor The Washington Post.

Ribut dan salji diramalkan melanda negeri di bahagian selatan, sebahagian kawasan Midwest serta Pantai Timur, dengan kesan dijangka dirasai pada Ahad, termasuk di kawasan metropolitan New York dan ibu negara AS, Washington.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memberi amaran pada Khamis mengenai jalan raya berais dan keadaan perjalanan yang berbahaya.

Gabungan salji dan angin kencang boleh mengurangkan jarak penglihatan di jalan raya secara ketara, katanya. Terdapat kemungkinan pokok tumbang dan gangguan bekalan elektrik juga boleh berlaku.

Pakar kaji cuaca kebangsaan turut memberi amaran mengenai risiko hipotermia dan luka beku, serta mengesyorkan penduduk melindungi haiwan peliharaan daripada cuaca sejuk. Angin kencang akan menyebabkan suhu dirasai lebih sejuk daripada bacaan sebenar, katanya.

Di negeri selatan Texas, pengurusan kecemasan negeri diaktifkan bagi membantu menangani sebarang insiden, menurut pengumuman Gabenor Greg Abbott. Langkah itu membolehkan pemantauan lebih rapi terhadap bekalan elektrik serta bantuan membersihkan jalan raya sekiranya berlaku kecemasan.

-- BERNAMA

#ribut salji #Amerika Syarikat #s cuaca ekstrem #penduduk terjejas #perubahan iklim