Skip to main content

Dunia

Ribut Tropika Moke hampiri Hawaii, bawa hujan lebat dan angin kencang

This NOAA satellite image taken Saturday, Aug. 22, 2026, shows Tropical Storm Moke advancing towards Hawaii in the Pacific Ocean. (NOAA via AP)
Imej satelit Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA) yang dirakam pada Sabtu menunjukkan Ribut Tropika Moke bergerak menghampiri Hawaii di Lautan Pasifik. - Foto NOAA/AP.
Advertisement

HONOLULU: Ribut Tropika Moke semakin menghampiri Hawaii dengan membawa hujan lebat serta angin kencang, hanya seminggu selepas kepulauan itu dilanda cuaca buruk akibat Taufan Lala yang menyebabkan banjir besar, gangguan bekalan elektrik dan kematian sekurang-kurangnya seorang penduduk.

Penduduk Hawaii kini bersiap siaga menghadapi ribut terbaharu itu yang dijangka melintasi kawasan selatan Pulau Hawaii, pulau terbesar dalam gugusan kepulauan tersebut, sepanjang malam hingga pagi Ahad.

Menurut Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) Amerika Syarikat, setakat jam 11 pagi waktu tempatan, Moke berada kira-kira 684 kilometer di selatan Hilo di pantai timur Pulau Hawaii dan bergerak ke arah barat laut pada kelajuan 19 kilometer sejam.

Ribut itu mencatatkan kelajuan angin maksimum berterusan sekitar 85 kilometer sejam.

Seperti Taufan Lala sebelum ini, Moke dijangka tidak membadai Pulau Hawaii secara langsung.

Namun, pihak berkuasa memberi amaran ia masih berpotensi membawa kesan cuaca buruk kepada pulau itu yang masih dalam proses pemulihan daripada kerosakan akibat ribut minggu lalu.

Taufan Lala, yang diklasifikasikan sebagai ribut Kategori 1, mengakibatkan hujan melebihi 1,000 milimeter di beberapa kawasan, menyebabkan sungai melimpah serta banjir besar.

Angin kencang turut menumbangkan talian elektrik dan melenturkan pokok palma, mengakibatkan hampir 130,000 pengguna terputus bekalan elektrik.

Gabenor Hawaii, Josh Green, menggesa orang ramai membuat persediaan awal dengan menyimpan bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan harian sebelum ribut melanda.

“Ribut ini berpotensi memberi kesan besar kerana kami baru sahaja mengalami kerosakan teruk akibat ribut sebelum ini.

“Kami telah menempatkan tambahan peralatan dan anggota bantuan di lokasi strategik. Saya juga telah meluluskan penyediaan 100 bilik hotel untuk kegunaan penduduk yang memerlukan perlindungan atau tidak mempunyai kemudahan mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan video.

Menurut Green, sebahagian besar bekalan elektrik yang terjejas akibat Lala telah dipulihkan, namun beberapa kawasan terpencil masih mengalami gangguan dan proses pemulihan penuh dijangka selesai menjelang 8 September.

Ahli meteorologi Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS di Honolulu, Casey Oswant, berkata Moke dijangka terus bergerak ke arah barat berhampiran kepulauan Hawaii sehingga awal Selasa.

“Masih akan ada kesan cuaca, terutama di kawasan menghadap angin dan bahagian tenggara Pulau Hawaii, tetapi kesannya mungkin lebih terhad berbanding apa yang berlaku ketika Lala,” katanya.

NHC meramalkan kawasan tenggara dan pesisir menghadap angin di Pulau Hawaii akan menerima antara 130 hingga 250 milimeter hujan dalam tempoh dua hari akan datang, manakala beberapa kawasan terpencil berkemungkinan mencatatkan sehingga 380 milimeter hujan.

Di Maui Timur pula, jumlah hujan antara 76 hingga 150 milimeter dijangka direkodkan, sementara kawasan lain di seluruh kepulauan Hawaii dijangka menerima jumlah hujan yang lebih rendah.

Dalam pada itu, Green memberi amaran bahawa cuaca buruk mungkin berterusan walaupun selepas Moke berlalu.

“Semua orang perlu berhati-hati. Selepas ribut ini, satu lagi sistem cuaca dijangka tiba kira-kira seminggu kemudian dan kita terus menyaksikan kesan daripada corak cuaca ekstrem yang melanda Hawaii,” katanya.

 

Must Watch Video

Advertisement