DUNIA

Ribut tropika Wipha: Enam maut dalam banjir, tanah runtuh di Thailand

Astro Awani 02/08/2025 | 09:45 MYT
Sebanyak 12 wilayah — kebanyakannya di kawasan utara dan tengah negara itu — telah dilanda hujan berterusan yang menyebabkan paras air meningkat secara mendadak di beberapa sungai dan kawasan rendah. -Gambar fail/Reuters
BANGKOK: Sekurang-kurangnya enam orang dilaporkan maut manakala lebih 230,000 penduduk terjejas akibat banjir dan tanah runtuh yang melanda Thailand susulan hujan lebat yang dibawa oleh Ribut Tropika Wipha sejak 21 Julai lalu.


Ringkasan AI
  • Sekurang-kurangnya enam maut dan lebih 230,000 penduduk terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di Thailand sejak 21 Julai.
  • Dua belas wilayah dilanda hujan berterusan, paras air sungai meningkat dan kawasan rendah ditenggelami air.
  • Pakar iklim beri amaran perubahan iklim tingkatkan risiko banjir besar dan cuaca ekstrem di Thailand.


Menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand, sebanyak 12 wilayah — kebanyakannya di kawasan utara dan tengah negara itu — telah dilanda hujan berterusan yang menyebabkan paras air meningkat secara mendadak di beberapa sungai dan kawasan rendah.

“Kami sedang memantau rapat kesan ribut Wipha dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas,” menurut kenyataan rasmi jabatan itu di laman Facebook.

Imej yang tular di media sosial menunjukkan air banjir keruh melimpah ke jalan raya, penduduk menggunakan bot plastik untuk bergerak, dan beg pasir disusun di hadapan rumah bagi menghalang kemasukan air.

Jabatan Meteorologi Thailand menjangkakan hujan akan mula reda dalam beberapa hari akan datang, namun pihak berkuasa tetap berwaspada terhadap risiko banjir susulan dan tanah runtuh, terutama di kawasan berbukit.

Thailand mengalami musim hujan tahunan antara Mei hingga Oktober, namun pakar iklim memberi amaran bahawa perubahan iklim buatan manusia telah meningkatkan intensiti corak cuaca ekstrem, sekali gus menjadikan banjir besar lebih kerap dan merosakkan.

Banjir besar pada tahun 2011 menyaksikan lebih 500 kematian dan kerosakan meluas ke atas jutaan kediaman di seluruh negara.







#Ribut tropika Wipha #Thailand #banjir #tanah runtuh