SINGAPURA: Jutawan British Sir Richard Branson menolak pelawaan Singapura untuk menyertai debat televisyen secara langsung dengan Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri K. Shanmugam mengenai hukuman mati di republik itu.

"Saya memutuskan untuk menolak pelawaan ini. Ini kerana: perdebatan televisyen - terhad dalam masa dan skop, sentiasa berisiko mengutamakan personaliti berbanding isu - tidak memberi sebarang makna terhadap hukuman mati," katanya dalam catatan blognya pada Isnin.

"Ia juga mengubah perdebatan serius menjadi tontonan," tambah pengasas Virgin Group itu.

Alasan lain ialah "perbincangan ini sepatutnya melibatkan orang tempatan."

Pada 22 Okt, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura (MHA) mengundang Branson sebagai sebahagian daripada respons kepada catatan blog Branson pada 10 Okt bertajuk "Hari Sedunia Menentang Hukuman Mati: Ada Apa dengan Singapura?".

Menurut kementerian, Branson "boleh menggunakan platform ini untuk menunjukkan kepada rakyat Singapura mengenai kesilapan cara dan mengapa Singapura wajar memansuhkan undang-undang yang berjaya memastikan penduduk selamat daripada bencana penyalahgunaan dadah global."

Antara lain, MHA berkata dakwaan Branson bahawa seorang warga Malaysia, D. Nagaenthran, mempunyai "kecacatan intelek yang disahkan", namun tetap digantung.

"Kami telah beberapa kali menjelaskan bahawa ia tidak benar," kata MHA.

-- BERNAMA