Skip to main content

Dunia

Risiko jerebu rentas sempadan meningkat, ASMC aktifkan amaran tahap tiga di ASEAN

A drone view shows the Ampera Bridge shrouded in haze from wildfires in Palembang, South Sumatra province, Indonesia, August 25, 2026. REUTERS/Abriansyah Liberto
ASMC memaklumkan kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal dari kelompok titik panas di Kalimantan Barat dikesan bergerak ke utara memasuki bahagian barat Sarawak. - Gambar/ Reuters
Advertisement

SINGAPURA: Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) mengaktifkan amaran tahap tiga bagi selatan ASEAN susulan peningkatan risiko jerebu rentas sempadan apabila keadaan titik panas dan jerebu terus merosot.

Dalam nasihat yang dimuat naik di laman sesawang rasminya, ASMC memaklumkan keadaan itu berpunca daripada cuaca kering berpanjangan di rantau berkenaan.

Pemantauan satelit menunjukkan jerebu sederhana hingga tebal meliputi kawasan luas akibat kelompok titik panas yang dikesan di Kalimantan, manakala jerebu rentas sempadan pada tahap sama bergerak ke utara dari Kalimantan Barat.

“Jerebu tahap sederhana hingga tebal turut dikesan di sebahagian besar kawasan selatan dan tengah Sumatera.

“Sebanyak 287 dan 190 titik panas dikesan di Kalimantan, manakala 65 dan 81 titik panas dikesan di Sumatera, masing-masing pada 24 dan 25 Ogos 2026 menerusi satelit NOAA-20,” menurut ASMC.

Dalam laporan harian terkini mengenai jerebu dan cuaca pula, ASMC memaklumkan kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal dari kelompok titik panas di Kalimantan Barat dikesan bergerak ke utara memasuki bahagian barat Sarawak.

“Kepulan asap sederhana hingga tebal turut dikesan dari kelompok titik panas di banyak kawasan di Kalimantan serta bahagian tengah dan selatan Sumatera.

“Beberapa stesen pemantauan kualiti udara di Kalimantan Barat dan Selatan, tengah dan selatan Sumatera serta bahagian barat Sarawak merekodkan tahap Tidak Sihat hingga Berbahaya,” menurut ASMC.

Dalam pada itu, Agensi Sekitaran Kebangsaan Singapura (NEA) berkata kualiti udara negara itu kekal pada tahap sederhana, dengan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam mencatat bacaan antara 56 dan 64 setakat 11 pagi.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement