GENEVA: Pihak berkuasa di Switzerland menutup beberapa bahagian Gunung Santis berikutan risiko runtuhan batu besar, menurut pegawai pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Sehingga 15,000 meter padu batu berisiko runtuh dari tebing curam, menurut pihak berkuasa di wilayah Appenzell Ausserrhoden.
Beberapa kawasan ditutup sebagai langkah berjaga-jaga, bagaimanapun laluan pendakian tidak terjejas.
Seorang juruterbang mengesan bahagian yang tidak stabil itu ketika melakukan penerbangan di kawasan berkenaan dan ahli geologi kemudian mengesahkan risiko tersebut selepas menjalankan siasatan lanjut.
Kawasan itu terletak kurang satu kilometer dari sebuah hotel dan di atas kuari batu kerikil, yang operasinya dihentikan sementara.
Jalan di bawah tebing batu turut itu turut ditutup kepada pejalan kaki. Pemandu kenderaan dan penunggang basikal masih dibenarkan menggunakannya kerana mereka boleh melalui zon berbahaya itu dengan lebih cepat, menurut pihak berkuasa.
Gunung Santis antara puncak utama di Banjaran Alps yang terkenal dan tertinggi di wilayah Tasik Constance, dengan ketinggian lebih 2,500 meter.
-- BERNAMA-dpa