DUNIA

Rizab Persekutuan AS perlu seimbangkan trend berbeza dalam inflasi, pekerjaan - Powell

Bernama 22/08/2025 | 21:40 MYT
Powell berkata, kadar dasar AS kini 100 mata asas lebih hampir kepada paras neutral berbanding setahun lepas. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) perlu mencari keseimbangan antara trend berbeza dalam inflasi dan pekerjaan, kata Pengerusinya, Jerome Powell pada Jumaat, lapor Sputnik/RIA Novosti.

"Dalam jangka masa pendek, risiko inflasi cenderung meningkat manakala risiko terhadap pekerjaan pula menurun - satu keadaan yang mencabar.

"Apabila matlamat kami berada dalam keadaan tegang seperti ini, rangka kerja kami menuntut keseimbangan antara kedua-dua mandat," katanya pada Simposium Dasar Ekonomi di Wyoming.

Powell berkata, kadar dasar AS kini 100 mata asas lebih hampir kepada paras neutral berbanding setahun lepas.

Beliau turut menekankan kestabilan kadar pengangguran dan ukuran pasaran buruh lain membolehkan pihak berkuasa bertindak lebih berhati-hati dalam mempertimbangkan perubahan pendirian dasar.

"Namun, dengan dasar berada dalam wilayah yang ketat, unjuran asas serta peralihan keseimbangan risiko mungkin memerlukan penyesuaian terhadap pendirian dasar kami," katanya.

Powell menegaskan, Fed akan membuat keputusan utama semata-mata berdasarkan penilaian terhadap data serta implikasinya terhadap prospek ekonomi dan keseimbangan risiko, sambil berjanji tidak akan menyimpang daripada pendekatan itu.

--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI





TAG: Fed As, Powell, inflasi, pekerjaan




#Rizab Persekutuan AS #kadar pengangguran #risiko inflasi #Jerome Powell