DUNIA

Robot terapung kumpul data pertama di bawah pelantar ais Antartika Timur - Kajian Australia

Bernama 06/12/2025 | 20:00 MYT
Penemuan ini memberi gambaran mengenai tahap kerentanan pelantar ais dan potensi sumbangannya terhadap kenaikan aras laut. - Gambar AP
MELBOURNE: Sebuah robot terapung telah menyiapkan transek oseanografi pertama di bawah pelantar ais Antartika Timur, mengukur suhu dan kemasinan dari bahagian laut yang tidak pernah disampel sebelum ini, lapor Xinhua pada Sabtu memetik satu kajian Australia.

Penemuan ini memberi gambaran mengenai tahap kerentanan pelantar ais dan potensi sumbangannya terhadap kenaikan aras laut, menurut kenyataan media daripada Australian Antarctic Program Partnership (AAPP), sebuah kerjasama antara institusi penyelidikan Antartika utama di Australia.

Argo float, iaitu instrumen robotik berprofil yang dilengkapi sensor oseanografi, menghabiskan dua setengah tahun hanyut kira-kira 300 km di bawah pelantar ais Denman dan Shackleton, mengumpul hampir 200 profil laut, menurut kenyataan itu.

"Robot kami ini hanyut di bawah ais dan menghabiskan lapan bulan di bawah pelantar ais Denman dan Shackleton, mengumpul profil dari dasar laut hingga ke dasar ais setiap lima hari," kata ahli oseanografi Steve Rintoul daripada Commonwealth Scientific and Industrial Research Organisation (CSIRO), agensi sains negara Australia, dan AAPP.

Data menunjukkan pelantar ais Shackleton pada masa ini tidak terdedah kepada air suam yang mampu mencairkannya dari bawah, sekali gus kurang terdedah kepada risiko. Namun, air suam sedang sampai ke dasar Glasier Denman, yang berpotensi menyumbang sehingga 1.5 meter kepada kenaikan aras laut global jika ia menjadi tidak stabil.

Pemindahan haba dari laut ke ais bergantung pada keadaan laut dalam "lapisan sempadan" setebal 10 meter yang terletak tepat di bawah pelantar ais, menurut kajian yang diterbitkan dalam Science Advances.

"Kelebihan besar robot terapung ialah ia boleh mengukur ciri lapisan sempadan yang menentukan kadar pencairan," kata Rintoul, sambil menambah bahawa data robot terapung akan memperhalusi model komputer interaksi ais-laut sekali gus mengurangkan ketidakpastian dalam ramalan kenaikan aras laut.

"Menggunakan lebih banyak robot terapung di sepanjang pelantar benua Antartika akan mengubah pemahaman kita mengenai kerentanan pelantar ais terhadap perubahan dalam laut," katanya.

-- BERNAMA






#Kajian #antartika timur #robot terapung #aras laut #Australia