Rodrigo Duterte menang Pilihan Raya Presiden Filipina

Agensi
Mei 10, 2016 08:09 MYT
Calon kontroversi Rodrigo Duterte (gambar) menang pilihan raya bagi merebut jawatan Presiden Filipina. -AFP
Calon kontroversi Rodrigo Duterte menang pilihan raya bagi merebut jawatan Presiden Filipina.
Walaupun keputusan rasmi belum diumumkan, dua pesaingnya yang mengaku kalah membuka peluang kepada Datuk Bandar Davao itu menggantikan Benigno Aquino III bagi memimpin Filipina untuk penggal seterusnya.
Mar Roxas mengaku kalah selepas undian mendapati Duterte jauh meninggalkan empat lain calon bagi merebut jawatan nombor satu itu.
Sebelum Roxas, senator popular, Grace Poe turut mengaku kalah lebih awal selepas mendapat tempat ketiga.
Keputusan tidak rasmi menunjukkan Duterte mengatasi kedua-duanya dengan memperoleh lebih 6.1 juta undi.
Duterte, 71 tahun, berjaya menawan hati penduduk Filipina dengan sumpah untuk menyelesaikan isu jenayah dan kemiskinan secara besar-besaran.
Beliau turut menawarkan dirinya untuk menjadi individu tegas dan mampu menyelesaikan pelbagai masalah lain yang berakar umbi dalam masyarakat di Filipina.
#Benigno Aquino #Grace Poe #pilihan raya Filipina #presiden filipina #Rodrigo Duterte