Susulan seorang pelancong wanita Switzerland menjadi mangsa rogol berkumpulan di India.

Polis India menahan 20 lelaki di wilayah Madhya Pradesh, tengah India, pada Ahad bagi membantu siasatan.

Pegawai kanan polis, D.K. Arya memaklumkan, kesemua lelaki tersebut disoal-siasat berhubung insiden rogol itu.

Sebagai permulaan, polis juga mengenakan dakwaan rogol terhadap tujuh lelaki tidak dikenali selain menjalankan operasi mencari di kampung berhampiran.

Pelancong wanita Switzerland bersama dengan suaminya kini dalam percutian selama tiga bulan di India.

Mereka diserang oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali yang bersenjata di sebuah hutan berhampiran perkampungan Jatia.

Kumpulan lelaki bersenjata itu kemudiannya membelasah suami pelancong wanita itu dan mengikatnya pada sebatang pokok sebelum merogol pelancong wanita terbabit.

Dalam reaksi balasnya, duta Switzerland di India, Linus Von Castelmur mendesak agar satu siasatan segera dilakukan terhadap insiden rogol berkenaan.

Ini bukan kes rogol beramai-ramai dilaporkan di India.

Tiga bulan lalu, India dikejutkan dengan insiden rogol beramai-ramai ke atas seorang pelajar wanita jurusan perubatan yang berkesudahan dengan kematian.

Insiden rogol itu mencetuskan kemarahan rakyat India dan mendorong kerajaan India untuk meluluskan undang-undang baharu bagi melindungi kaum wanita.