DUNIA
Roket H2A terakhir Jepun berjaya dilancar
Roket H2A kini digantikan oleh model baharu, H3, yang menawarkan kos pelancaran lebih rendah dan keupayaan membawa muatan lebih besar. - Foto X/The Japan News
TANEGASHIMA: Jepun secara rasmi menamatkan era roket H2A selepas pelancaran terakhirnya yang berjaya awal pagi Ahad, menandakan penutup kepada perkhidmatan selama 24 tahun dalam program pembangunan angkasa negara itu.
Roket H2A ke-50, yang dibangunkan oleh Mitsubishi Heavy Industries bersama Agensi Eksplorasi Aeroangkasa Jepun (JAXA), dilancarkan dari Pusat Angkasa Tanegashima di Wilayah Kagoshima pada jam 1.33 pagi waktu tempatan.
Ia membawa satelit kerajaan untuk memantau gas rumah hijau dan kitaran air global, yang kini telah berjaya memasuki orbit pada ketinggian sekitar 670 kilometer berhampiran garisan khatulistiwa.
Pelancaran ini menarik perhatian lebih 1,300 orang yang berkumpul di taman berhampiran pusat angkasa untuk menyaksikan detik bersejarah itu.
“Saya lebih gementar daripada biasa dan rasa seperti masih bermimpi. Kami berjaya capai matlamat lama kami - kadar kejayaan 98 peratus,” kata Keiji Suzuki, pegawai kanan Mitsubishi Heavy yang bertanggungjawab terhadap pelancaran.
Sejak pelancaran pertamanya pada 2001, roket H2A telah memainkan peranan penting dalam membawa satelit meteorologi, sistem navigasi, dan misi saintifik seperti Hayabusa2 dan pendaratan bulan SLIM.
Walaupun pernah mengalami kegagalan pada pelancaran keenam pada 2003, siri ini bangkit semula dan mengekalkan rekod kebolehpercayaan yang tinggi.
Roket H2A kini digantikan oleh model baharu, H3, yang menawarkan kos pelancaran lebih rendah dan keupayaan membawa muatan lebih besar - langkah strategik Jepun untuk bersaing dalam pasaran pelancaran satelit global yang semakin sengit.