Skip to main content

Dunia

Rombakan visa pelancong Thailand 15 Sept, bakal tamatkan skim pengecualian 60 hari

71676802768_BangkokThailand.jpg
Keadaan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Thailand. - Gambar hiasan
Advertisement

BANGKOK: Thailand akan melaksanakan rombakan terhadap peraturan pengecualian visa pelancong dan visa semasa ketibaan (VOA) mulai 15 Sept, sekali gus secara rasmi memansuhkan program pengecualian visa 60 hari yang diperkenalkan dua tahun lalu, menurut Kementerian Luar Thailand pada Khamis, lapor Xinhua.

Di bawah rangka kerja baharu yang sebelum ini diluluskan Kabinet, Thailand akan memperkenalkan semula skim kemasukan tanpa visa selama 30 hari yang disemak semula, melaksanakan kategori pengecualian 15 hari baharu bagi negara terpilih serta menyusun semula senarai negara yang layak mendapat visa semasa ketibaan.

Dalam taklimat media mingguan, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Konsular Mungkorn Pratoomkaew berkata statistik imigresen menunjukkan purata tempoh tinggal pelancong asing adalah kurang daripada 15 hari, sekali gus menjadikan pengecualian 60 hari secara menyeluruh tidak lagi diperlukan bagi pelancong biasa.

Mungkorn menjelaskan bahawa pertimbangan keselamatan negara, usaha membanteras jenayah rentas negara, manfaat ekonomi serta prinsip timbal balik diplomatik menjadi panduan kepada pelarasan dasar itu.

Antara 20 hingga 30 negara dan wilayah dikeluarkan daripada senarai pengecualian visa yang disemak selepas pihak berkuasa menilai jumlah kemasukan pelawat serta sama ada keistimewaan visa secara timbal balik diberikan kepada pemegang pasport Thailand, katanya.

Menurut pengumuman yang diterbitkan dalam Warta Diraja Thailand pada Isnin, pengecualian visa selama 30 hari yang disemak akan terpakai kepada pemegang pasport biasa dari 60 negara dan wilayah.

Selain itu, kategori pengecualian baharu selama 15 hari akan meliputi pelancong dari dua negara, manakala perkhidmatan visa semasa ketibaan akan dihadkan kepada tiga negara.

Mungkorn berkata aturan pengecualian visa dua hala sedia ada kekal tidak terjejas sepenuhnya, dengan 16 negara dan wilayah yang mempunyai perjanjian pengecualian visa secara timbal balik dikategorikan secara berasingan.

Beliau berkata pelancong asing yang tiba di Thailand sebelum tengah malam pada 14 Sept akan mengekalkan tempoh penginapan dibenarkan yang dicap dalam pasport mereka di bawah peraturan sedia ada, termasuk cap kemasukan 60 hari. 

Pelancong yang berhasrat untuk tinggal lebih daripada 30 hari di bawah peraturan baharu dinasihatkan memohon visa pelancong standard selama 60 hari secara terus melalui sistem visa elektronik global kementerian sebelum berlepas, walaupun permohonan lanjutan tempoh tinggal di dalam negara melalui pejabat imigresen tempatan masih dibenarkan, kata pegawai itu.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement