DUNIA
RSF Sudan didakwa lancar serangan dron ke atas infrastruktur awam

Sumber tentera di bandar Kosti, Negeri White Nile, berkata pertahanan udara tentera Sudan bertindak balas awal pagi Ahad terhadap skuadron dron yang dilancarkan RSF. - Gambar hiasan/Sinar Harian
KHARTOUM: Pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) Sudan melancarkan serangan dron terhadap sebuah stesen janakuasa dan beberapa kemudahan awam pada Ahad di Negeri White Nile, tengah Sudan, menurut kenyataan Majlis Kedaulatan Peralihan Sudan.
"Pada awal pagi ini (Ahad), pemberontak melancarkan dron bunuh diri yang menyasarkan kemudahan serta infrastruktur awam," menurut kenyataan itu sambil menjelaskan bahawa serangan itu menumpukan kepada stesen janakuasa Um Dabakir dan depot bahan api di Negeri White Nile serta lapangan terbang awam Kenana.
Majlis itu mendakwa RSF melakukan pelanggaran berterusan yang "boleh disifatkan sebagai jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan."
Sumber tentera di bandar Kosti, Negeri White Nile, berkata pertahanan udara tentera Sudan bertindak balas awal pagi Ahad terhadap skuadron dron yang dilancarkan RSF."Sistem pertahanan udara di darat berjaya memintas beberapa dron," kata sumber itu kepada Xinhua dengan syarat namanya tidak didedahkan, sambil menambah bahawa serangan itu menyasarkan tiga bandar di Negeri White Nile iaitu ibu negeri Rabak, Kosti dan Kenana.
Seorang saksi memberitahu Xinhua bahawa serangan itu mengenai pangkalan udara tentera Sudan di Kenana, ibu pejabat Divisyen Ke-18 tentera di Kosti, serta stesen janakuasa Um Dabakir di Rabak.
RSF setakat ini belum mengulas mengenai serangan itu.
Sudan kekal bergelut dengan konflik yang meletus pada April 2023 antara Angkatan Tentera Sudan dan RSF. Pertempuran itu telah meragut puluhan ribu nyawa serta memaksa jutaan penduduk menjadi pelarian, sama ada di dalam negara mahupun merentasi sempadan, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan di negara itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami