KUALA LUMPUR: Rumah bukan sekadar struktur fizikal, sebaliknya tempat sesebuah keluarga membina kenangan, memelihara maruah dan rasa selamat, sesuatu realiti yang membawa makna lebih mendalam bagi rakyat Palestin ketika berdepan kemusnahan dan perpindahan besar-besaran di Semenanjung Gaza.
Pegawai Palestin, Suffiea Ibrahim berkata, skala kemusnahan di Semenanjung Gaza belum pernah berlaku sebelum ini, dengan lebih 200,000 bangunan mengalami kerosakan, mewakili kira-kira 82 peratus daripada keseluruhan bangunan di wilayah itu.
Memetik penilaian Pusat Satelit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOSAT), Pengarah Jabatan Perangkaan Perumahan dan Keadaan Perumahan berkata kerosakan berkenaan berlaku antara 7 Okt 2023 hingga 16 Jun 2026.
Ketika bersiaran secara langsung dari Palestin menerusi program Palestine Beyond the Headlines terbitan Bernama baru-baru ini, beliau berkata statistik perumahan sebenarnya mencerminkan kehidupan keluarga yang terjejas akibat konflik berkenaan.
"Apabila kita bercakap mengenai statistik perumahan, sebenarnya kita sedang membicarakan tentang keluarga.
“Jadi, hari ini sebagai seorang pakar statistik, saya ingin berkongsi beberapa angka, namun kita perlu ingat bahawa di sebalik setiap angka itu, ada sebuah keluarga.
"Menyentuh mengenai skala kemusnahan di Semenanjung Gaza, ia sebenarnya sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini," katanya dalam program bertemakan Housing in a Time of Destruction and Displacement.
Suffiea berkata, kira-kira 328,626 unit kediaman mengalami kerosakan, dengan setiap angka itu mewakili keluarga yang kehidupannya terjejas.
"Angka ini amat besar, dan di sebalik setiap unit kediaman yang rosak, tersimpan kisah kehidupan manusia.
"Rumah bukan sekadar struktur fizikal. Ia tempat sesebuah keluarga menetap, anak-anak membesar dan manusia membina rasa selamat serta kestabilan dalam kehidupan.
"Justeru, apabila kita menyentuh mengenai lebih 328,000 unit kediaman yang rosak, kita sebenarnya turut membicarakan kemusnahan besar terhadap kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat," katanya.
Sempena Hari Habitat Sedunia, beliau berkata, tema tahun ini, “Adequate Housing for All”, mengetengahkan isu perumahan di peringkat global dengan kira-kira dua bilion penduduk dunia masih tidak mempunyai akses kepada tempat tinggal yang mencukupi.
"Namun, di Palestin, perkataan perumahan membawa makna yang amat mendalam.
"Bagi kami, rumah bukan sekadar dinding dan bumbung. Ia tempat ibu menyediakan sarapan, anak-anak menyiapkan kerja sekolah, datuk dan nenek bercerita serta tempat sesebuah keluarga menyimpan kenangan dan memelihara maruah mereka," kata beliau.
Palestine Beyond the Headlines merupakan inisiatif mingguan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan kerjasama Kedutaan Besar Palestin di Malaysia bagi mengetengahkan suara dan kisah kehidupan rakyat Palestin.
Suffiea turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas sokongan serta keprihatinan berterusan terhadap rakyat Palestin.
Beliau berkata, solidariti Malaysia amat bermakna kepada keluarga Palestin yang sering bimbang penderitaan mereka tidak lagi mendapat perhatian dunia.
"Malaysia sentiasa berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan saya mahu anda tahu bahawa solidariti ini benar-benar dirasai di sini.
"Ia amat bermakna kepada keluarga yang sering bimbang dunia sudah tidak lagi mempedulikan nasib mereka," kata beliau.
-- BERNAMA