DUNIA

Rumah Menteri Luar New Zealand diserang penunjuk perasaan

Astro Awani 07/10/2025 | 02:20 MYT
Peters tidak berada di rumah ketika kejadian, namun pasangannya dan seorang tetamu dilaporkan berada di dalam kediaman. - Foto fail/REUTERS
AUCKLAND: Rumah Menteri Luar New Zealand, Winston Peters, menjadi sasaran serangan seorang penunjuk perasaan pada Isnin, apabila tingkap kediamannya di St Marys Bay dipecahkan menggunakan crowbar dan satu nota provokatif ditinggalkan di pintu hadapan.

Menurut jurucakap Peters, insiden berlaku sekitar jam 5.40 petang dan menyebabkan serpihan kaca bertaburan di atas katil anjing peliharaan beliau yang sedang tidur di bawah tingkap tersebut.

Peters tidak berada di rumah ketika kejadian, namun pasangannya dan seorang tetamu dilaporkan berada di dalam kediaman.

Nota yang ditinggalkan berbunyi “Welcome to the real world,” dipercayai merujuk kepada keputusan kontroversi Peters baru-baru ini yang menolak pengiktirafan rasmi terhadap negara Palestin - bertentangan dengan pendirian Australia, Britain dan Kanada.

“Ini tindakan pengecut,” kata Peters dalam satu kenyataan di platform X.

“Apabila ahli politik, blogger dan wakil rakyat menggalakkan tingkah laku ekstrem serta menyiarkan alamat rumah pemimpin, inilah akibatnya,” tambahnya.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Polis Auckland mengesahkan bahawa seorang lelaki berusia 29 tahun telah menyerah diri pada malam yang sama dan akan didakwa atas kesalahan pecah rumah di Mahkamah Daerah Auckland pada 10 Oktober.

Superintenden Sunny Patel menyatakan bahawa pihak berkuasa menghormati hak untuk membantah secara sah, namun tidak akan bertolak ansur dengan tindakan merosakkan harta benda, terutamanya di kawasan kediaman.

Insiden ini mencetuskan reaksi pantas daripada pemimpin politik pelbagai parti.

Timbalan Perdana Menteri David Seymour menyifatkan serangan itu sebagai “memalukan dan tidak beradab,” manakala pemimpin Parti Hijau dan Parti Buruh turut mengecam perbuatan tersebut sebagai “tidak boleh diterima dalam mana-mana bentuk demokrasi.”

Dalam pada itu, perundangan baharu sedang dibincangkan di Parlimen untuk menjadikan protes di luar kediaman ahli politik sebagai satu kesalahan jenayah, bagi melindungi keselamatan peribadi dan ketenteraman awam.







#serangan #Penunjuk perasaan #Winston Peters #Palestin