Rumah Putih henti langgan akhbar Washington Post, New York Times

Bernama
Oktober 25, 2019 09:46 MYT
Menurut Rumah Putih, tindakan hentikan langganan dua akhbar itu sebagai langkah -berjimat cermat dan mengurangkan kos pembayar cukai.- - Gambar fail
Di tengah-tengah ketegangan dengan media arus perdana di Amerika Syarikat kian memuncak, Rumah Putih mengarahkan agensi persekutuan di negara itu menamatkan langganan The Washington Post dan The New York Times, lapor agensi berita Xinhua memetik media tempatan.
Menurut Rumah Putih tindakan itu sebagai langkah “berjimat cermat dan mengurangkan kos pembayar cukai.”
Bagaimanapun bila arahan itu berkuatkuasa tidak dapat dipastikan.
Langkah berkenaan diambil beberapa hari selepas Presiden Donald Trump dilaporkan berkata Rumah Putih akan menamatkan langganannya terhadap dua akhbar itu.
“Kami juga tidak mahu akhbar itu ada di Rumah Putih lagi,” kata Trump ketika diwawancara Fox News pada Isnin.
Dua akhbar berkenaan dan beberapa media lain sering dikecam Trump kerana laporan mereka yang kerap mengkritik pentadbiran presiden AS itu. - BERNAMA
#Donald Trump #New York Times #Rumah Putih #Washington Post #White House