Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
DUNIA

Rundingan antarabangsa tindakan keras terhadap tembakau bermula di Geneva

Bernama 17/11/2025 | 20:15 MYT
WHO memberi amaran kepada semua negara yang mengambil bahagian agar tidak terpengaruh dengan percubaan lobi industri dan menyeru delegasi mereka tidak bertolak ansur dengan pelobi industri. - Gambar fail/REUTERS
GENEVA: Sebanyak 183 negara yang menjadi pihak kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Antarabangsa (FCTC) sedang mengadakan rundingan di Geneva bermula Isnin mengenai tindakan keras global terhadap nikotin dan tembakau, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


Ringkasan AI
  • Rundingan Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Antarabangsa (FCTC) di Geneva membincangkan tindakan keras global terhadap nikotin dan tembakau, dengan 183 negara turut terlibat.
  • Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memperingatkan bahawa industri tembakau cuba menarik minat kanak-kanak dengan perisa manis; WHO menyeru negara untuk tidak terpengaruh dengan lobi industri.
  • WHO menyokong larangan terhadap penapis rokok tetapi menekankan bahawa cukai tembakau adalah langkah yang lebih berkesan dalam mengurangkan penggunaan tembakau.


Antara cadangan yang dibentangkan untuk pertimbangan ialah kertas pakar yang mencadangkan larangan penapis rokok dan perisa bagi e-rokok, selain beberapa langkah lain.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendakwa industri tembakau cuba menarik minat kanak-kanak secara khusus dengan perisa seperti gula-gula jeli dan gula kapas.

WHO memberi amaran kepada semua negara yang mengambil bahagian agar tidak terpengaruh dengan percubaan lobi industri dan menyeru delegasi mereka tidak bertolak ansur dengan pelobi industri.

"Kita mesti sedar tentang campur tangan industri dalam perbincangan," kata Etienne Krug, pengarah jabatan WHO yang mengawasi isu tembakau.

Beliau berkata WHO akan menyokong larangan terhadap penapis rokok. "Namun, itu tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada cukai tembakau, yang dapat mengurangkan penggunaan dengan jauh lebih ketara," kata Krug kepada dpa.

Hujah yang dikemukakan oleh pakar menyatakan yang penapis meningkatkan daya tarikan rokok, tetapi tidak banyak membantu mengurangkan kesan berbahaya. Dengan mendorong perokok menghisap lebih kuat, toksin disedut lebih dalam ke paru-paru, selain meracuni alam sekitar apabila dibuang secara tidak betul.

--BERNAMA-dpa



#nikotin #tembakau #FCTC #WHO