DUNIA

Rundingan dengan AS hanya berjaya jika hak rakyat Iran dihormati - Araghchi

Bernama 08/02/2026 | 20:00 MYT
Araghchi menegaskan, rundingan akan berjaya apabila hak rakyat Iran "diiktiraf, dihormati dan apabila kami dapat melaksanakan hak kami." - Gambar fail Reuters
TEHRAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan pada Ahad bahawa rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) hanya akan mencapai kejayaan sekiranya "hak rakyat Iran diiktiraf dan dihormati," lapor Agensi Anadolu.

Berucap pada forum diplomatik di Tehran yang dianjurkan oleh Kementerian Luar Iran, Araghchi berkata, Iran bersedia untuk "menjawab" dan "memberi penjelasan" terhadap sebarang "persoalan atau kekaburan" berhubung program nuklear negara itu menerusi saluran diplomasi.

"Ilmu tidak boleh dihapuskan melalui pengeboman; teknologi tidak boleh dimusnahkan. Teknologi dan ilmu itu wujud, dan tiada alternatif lain selain rundingan," katanya.

Inilah yang saya sampaikan kepada pasukan Amerika kelmarin, dan sebenarnya kehadiran mereka di meja rundingan adalah atas sebab ini: mereka telah mencuba pendekatan lain," katanya, merujuk kepada perang Israel terhadap Iran yang disokong AS pada tahun lepas.

Rundingan antara Tehran dan Washington disambung semula di Muscat, Oman pada Jumaat selepas ketegangan memuncak selama berminggu-minggu susulan pengerahan tentera AS di perairan Teluk Parsi berhampiran Iran.

Negara-negara serantau, yang diterajui oleh Turkiye, memainkan peranan penting dalam meredakan ketegangan dan memudah cara rundingan itu, yang sebelum ini digantung susulan perang selama 12 hari pada Jun 2025.

Araghchi menegaskan, rundingan akan berjaya apabila hak rakyat Iran "diiktiraf, dihormati, dan apabila kami dapat melaksanakan hak kami."

"Kami tidak meminta sesiapa untuk mengiktiraf hak kami; hak kami sudah sedia ada dan terbukti. Apa yang kami mahukan adalah penghormatan terhadap hak itu," katanya kepada hadirin yang terdiri daripada diplomat Iran dan asing, serta wartawan dan ahli akademik.

Beliau berkata, "sumber kekuatan" Iran adalah untuk "berdiri teguh menentang pembulian, penguasaan, dan tekanan luar."

"Mereka takutkan bom nuklear kami, sedangkan kami tidak berusaha membuat sebuah bom nuklear. Bom nuklear kami adalah kekuatan untuk berkata 'tidak' kepada kuasa-kuasa besar. Rahsia kekuatan Republik Islam ini terletak pada keupayaan untuk berkata tidak kepada kuasa itu," tegas diplomat tertinggi Iran itu.

-- BERNAMA



#abbas araghchi #rundingan #Amerika Syarikat #kepentingan awam #Iran #hak rakyat iran