ISTANBUL: Rundingan secara tidak langsung antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) diteruskan menerusi perantaraan Qatar dan Oman, kata seorang ahli parlimen Iran pada Sabtu ketika ketegangan Tehran-Washington kekal tinggi, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.
Yaqoub Rezazadeh, Ahli Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, memberitahu agensi berita ILNA bahawa kedua-dua pihak telah mengemukakan syarat menerusi pihak perantara.
“Kami telah mengemukakan beberapa syarat dan pihak satu lagi juga telah mengemukakan syarat mereka. Kami kini menunggu untuk melihat sama ada syarat yang kami kemukakan akan diterima oleh pihak Amerika,” kata Rezazadeh.
Beliau berkata hubungan berkenaan dijalankan dengan penglibatan Qatar dan Oman.
Rezazadeh berkata perundingan itu dipantau oleh Majlis Tertinggi Keselamatan Negara Iran, sambil menambah bahawa isu yang dibincangkan dikendalikan dengan kelulusan majlis berkenaan.
Ahli parlimen itu turut menepis spekulasi mengenai konflik baharu antara Iran dan AS yang didakwa bakal berlaku dalam masa terdekat, dengan menyatakan ramalan berdasar pasaran taruhan atau laporan mengenai kemungkinan serangan awal oleh Iran adalah tidak berasas.
Beliau berkata beliau tidak menjangkakan satu lagi perang berlaku sebelum Pilihan Raya Kongres AS dan pilihan raya di Israel, namun mengakui bahawa pertempuran baharu masih berpotensi berlaku.
Rezazadeh berkata Iran tidak akan melancarkan serangan awal tetapi akan bertindak balas sekiranya diserang, sambil mendakwa keupayaan ketenteraan, pertahanan udara dan maritim Tehran telah meningkat secara ketara berbanding dua pusingan pertempuran terdahulu.
-- BERNAMA-ANADOLU