DOHA: Qatar memaklumkan usaha pengantaraan untuk mencapai gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tebusan antara Israel dan Hamas masih diteruskan, malah ia tidak berhenti sama sekali.

Jurucakap Kementerian Luar Majed Al-Ansari pada satu sidang media di Doha berkata, Qatar terlibat dalam rundingan dan perbincangan yang serius antara kedua-dua pihak dalam krisis di Gaza.

Katanya, usaha pengantaraan antara Palestin dan Israel masih diteruskan dan tidak akan berhenti, tanpa mengira keadaan di lapangan.

Beliau mendakwa beberapa pihak cuba merosakkan reputasi Qatar, namun tidak menyatakan butiran khusus.

Majed berkata, ia sama sekali tidak akan menghalang pihaknya untuk melaksanakan peranan sebagai perantara selagi ada peluang untuk mencapai keamanan.

Ini kerana Qatar berpendirian bahawa perang hanya mencetuskan lebih banyak kerugian.

Ujar beliau, Doha sedang berhubung dengan Amerika Syarikat (AS) untuk menghentikan perang Israel, selain memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Israel melancarkan serangan maut di Semenanjung Gaza dan membunuh sekurang-kurangnya 25,490 rakyat Palestin selain mencederakan 63,354 orang.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan, serangan Israel menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala 60 peratus infrastruktur wilayah itu rosak atau musnah.