INTERNATIONAL
Rundingan gencatan senjata Gaza capai kemajuan - PM Qatar
Menara Masjid Omari yang rosak akibat serangan Israel di Gaza City. - Gambar fail Reuters
DOHA: Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, pada Ahad (27 April) berkata, usaha untuk mencapai gencatan senjata baharu di Gaza mencatat sedikit kemajuan, namun perjanjian muktamad antara Israel dan Hamas masih belum dapat dicapai.
"Kami melihat sedikit kemajuan pada Khamis lalu berbanding mesyuarat sebelum ini, namun persoalan utama yang perlu dijawab ialah bagaimana untuk menamatkan perang ini. Itu adalah teras kepada keseluruhan rundingan," kata Sheikh Mohammed yang juga Menteri Luar.
Ketua Agensi Perisikan Israel (Mossad), David Barnea dilaporkan mengunjungi Doha pada Khamis untuk bertemu Sheikh Mohammed dalam usaha mencapai gencatan senjata baharu di Gaza, menurut laporan Axios minggu lalu.
Sheikh Mohammed tidak memperincikan elemen mana dalam rundingan gencatan senjata yang menunjukkan kemajuan, namun menyatakan, Hamas dan Israel masih berbeza pendirian terhadap matlamat akhir rundingan tersebut.
Beliau berkata, Hamas bersedia membebaskan semua baki tebusan Israel sekiranya Israel bersetuju menamatkan perang di Gaza.
Namun, Israel mahu Hamas membebaskan tebusan tanpa memberikan jaminan yang jelas mengenai penamatan konflik.
"Apabila tiada matlamat bersama antara kedua-dua pihak, peluang untuk menamatkan perang ini saya kira menjadi amat tipis," katanya dalam sidang media bersama Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan di Doha.
Fidan pula berkata, perbincangan yang diadakan oleh pegawai Turkiye dengan Hamas menunjukkan kumpulan itu lebih terbuka untuk mencapai persetujuan yang bukan sahaja melibatkan gencatan senjata, malah mencari penyelesaian berkekalan terhadap krisis dengan Israel, termasuk ke arah penyelesaian dua negara.
Sumber diplomatik Turkiye kemudian memaklumkan, Fidan telah bertemu pegawai kanan Hamas di Doha untuk membincangkan rundingan gencatan senjata dan situasi kemanusiaan di Gaza.
"Pihak Hamas menyatakan mereka terus berusaha ke arah gencatan senjata yang berkekalan. Mereka turut memaklumkan perkembangan hasil pertemuan yang diadakan dalam beberapa hari kebelakangan ini," kata sumber itu sambil menambah Turkiye akan meneruskan usaha antarabangsa dan dua hala untuk keamanan di Gaza.
Israel menyambung semula serangan ketenteraan di Gaza pada 18 Mac lalu selepas gencatan senjata Januari gagal dipertahankan, dengan menyatakan mereka akan terus menekan Hamas sehingga semua baki tebusan dibebaskan.
Difahamkan seramai 24 tebusan dipercayai masih hidup di Gaza.
Perang di Gaza tercetus selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan 1,200 nyawa dan mengakibatkan 251 orang dijadikan tebusan, menurut statistik Israel.
Sejak itu, serangan Israel di Gaza telah meragut lebih 51,400 nyawa, menurut pegawai kesihatan Palestin. - Agensi
#perang Hamas-Israel
#gencatan senjata
#rundingan
#PM Qatar
#Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani