Rundingan AS-Korea Utara 'bergerak lebih cepat daripada jangkaan' - White House

Bernama
Jun 11, 2018 21:28 MYT
Trump akan bertemu dengan Kim pada 9 pagi Selasa.
Rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara berlangsung dan bergerak lebih cepat daripada apa yang dijangkakan, kata White House.
Satu mesyuarat tertutup diadakan antara pegawai AS dan Korea Utara di Hotel Ritz-Carlton pagi Isnin, dipercayai bagi memuktamadkan perjanjian menjelang Sidang Kemuncak mengenai 'damai nuklear' itu.
"Presiden Donald J. Trump akan bertemu dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un pada 9 pagi esok (Selasa)," kata White House dalam laman webnya.
Trump dan Kim akan bertemu buat pertama kalinya pada Sidang Kemuncak itu, yang akan diadakan di Hotel Capella, Pulau Sentosa di sini.
"Selepas kata-kata aluan, Presiden Trump dan Pengerusi Kim akan mengadakan pertemuan, dengan diiringi jurubahasa, dan disusuli mesyuarat dua hala serta jamuan tengah hari," kata White House.
Pada mesyuarat delegasi Selasa, AS akan turut diwakili oleh Setiausaha Negara Mike Pompeo, Ketua Staf John Kelly dan Penasihat Keselamatan Negara John Bolton.
Setiausaha Akhbar Sarah Sanders, Duta Besar Sung Kim dan Pengarah Kanan Majlis Keselamatan Negara bagi Asia Matt Pottinger pula akan menyertai Presiden Trump pada jamuan tengah hari sambil meneruskan perbincangan.
Pada akhir Sidang Kemuncak itu, Presiden Trump dijadual menghadiri pertemuan dengan media sebelum berlepas pulang ke AS pada 8 malam Selasa, kata White House. -- Bernama
#Amerika Syarikat #damai nuklear #Donald Trump #Kim Jong Un #Korea Utara #Mike Pompeo #sidang kemuncak #Singapura