Skip to main content

Dunia

Rundingan tiga pihak Ukraine disambung semula November - Putin

Delegasi Rusia termasuk Presiden Vladimir Putin, utusan presiden Kirill Dmitriev dan penasihat dasar luar Yuri Ushakov menghadiri mesyuarat dengan utusan khas Amerika Syarikat, Steve Witkoff. - Foto REUTERS
Delegasi Rusia termasuk Presiden Vladimir Putin, utusan presiden Kirill Dmitriev dan penasihat dasar luar Yuri Ushakov menghadiri mesyuarat dengan utusan khas Amerika Syarikat, Steve Witkoff. - Foto REUTERS

Advertisement

ISTANBUL: Pembantu Kremlin Yury Ushakov berkata pada Rabu Presiden Rusia Vladimir Putin memberitahu Utusan Khas Amerika Syarikat (AS) Steve Witkoff semasa perbincangan bahawa Moscow sedia untuk menyambung semula rundingan damai tiga pihak mengenai Ukraine pada November, lapor Anadolu Ajansi.

"Presiden kami memaklumkan Steve Witkoff bahawa kami, secara prinsipnya, bersedia untuk menyambung semula rundingan tiga pihak berkenaan sekitar 10 Nov," kata Ushakov kepada pemberita di St. Petersburg, Rusia, lokasi Putin menerima kunjungan utusan AS itu untuk perbincangan yang berlangsung selama kira-kira tiga jam pada awal Rabu.

Ushakov berkata kesediaan Moscow untuk rundingan trilateral itu secara khususnya menyentuh isu pembentukan "sistem keselamatan" pascaperang bagi Moscow dan Kyiv, sambil menambah bahawa situasi di sekitar Ukraine menjadi topik utama perbincangan.

Menurut Ushakov, Putin memuji usaha perantaraan pentadbiran semasa AS  berhubung perang yang sedang berlanjutan dan turut mengesahkan kepada Witkoff bahawa Rusia sedia untuk memudah cara usaha mencari penyelesaian politik dan diplomatik bagi situasi melibatkan Iran.

"Vladimir Putin menegaskan bahawa peluang diplomatik masih ada lagi harapan. Perjanjian dengan Tehran, yang merupakan rakan strategik kami, adalah sesuatu yang boleh dan perlu dicapai," kata Ushakov.

Beliau juga berkata Witkoff bagi pihaknya memaklumkan Putin mengenai inti pati perbincangan yang disertainya di ibu negara Norway, Oslo pada Selasa bersama Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy, dan menyatakan bahawa keputusan Moscow untuk membebaskan warga AS Stephen Hubbard akan dihargai oleh Trump dan rakyat Amerika.

Ushakov menambah bahawa Hubbard telah diserahkan kepada Witkoff di Lapangan Terbang Pulkovo di St. Petersburg untuk berlepas pulang ke AS berikutan pembebasannya.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement