DUNIA

Rundingan AS-Ukraine ‘produktif’ tetapi masih banyak kerja perlu dilakukan - Rubio

Agensi 01/12/2025 | 00:00 MYT
Marco Rubio (kiri) dan Rustem Umerov menghadiri rundingan di Hallandale Beach, Florida pada Ahad. - Gambar Reuters
FLORIDA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio menyifatkan rundingan dengan delegasi Ukraine bagi mencapai perjanjian menamatkan perang Rusia-Ukraine sebagai “produktif”, namun menegaskan masih banyak perkara perlu diselesaikan.

Pertemuan yang berlangsung di Hallandale Beach, Florida pada Ahad dihadiri Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Ukraine, Rustem Umerov yang kini mengetuai rundingan selepas pengunduran Andriy Yermak susulan serbuan antirasuah di kediamannya.

Turut hadir ialah Utusan Presiden Donald Trump, Steve Witkoff dan menantu Trump, Jared Kushner.

Witkoff dijadualkan ke Moscow minggu depan untuk berbincang mengenai pelan damai yang telah dipinda.

Rundingan ini susulan kebocoran dokumen 28 perkara pelan damai AS yang mengejutkan Ukraine dan sekutu Eropah kerana dilihat memihak kepada Rusia, yang menceroboh Ukraine hampir empat tahun lalu.

“Ini bukan sekadar syarat untuk hentikan pertempuran, tetapi juga syarat untuk masa depan Ukraine yang makmur,” kata Rubio.

“Kami capai kemajuan hari ini, tetapi masih banyak kerja perlu dilakukan.”

Umerov pula menegaskan, rundingan membincangkan keselamatan, pemulihan dan masa depan Ukraine.

“AS mendengar kami, menyokong kami dan bekerja bersama kami,” katanya.

Trump dalam kenyataan kepada media berkata, rundingan berjalan lancar dan yakin peluang untuk mencapai perjanjian adalah tinggi.

Beliau merancang menghantar Witkoff dan mungkin Kushner ke Moscow untuk bertemu Presiden Vladimir Putin bagi membincangkan pelan damai.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dalam hantaran media sosial menekankan rundingan perlu kekal konstruktif dengan fokus jelas terhadap kedaulatan dan kepentingan negara.

Beliau turut berterima kasih kepada AS dan Trump atas usaha menamatkan konflik.

Antara isu utama yang belum diselesaikan ialah nasib wilayah Ukraine yang kini dikuasai atau telah dianeksasi Rusia.

Sumber yang dekat dengan delegasi Ukraine menyifatkan rundingan “tidak mudah” tetapi semua pihak cuba bersikap konstruktif.

Sejak pencerobohan Rusia pada 24 Februari 2022, puluhan ribu tentera dan ribuan orang awam terbunuh, serta sekurang-kurangnya tujuh juta orang menjadi pelarian.

Konflik ini berpunca daripada krisis 2014 apabila Presiden pro-Rusia digulingkan dan Moscow bertindak mengambil alih wilayah Crimea serta menyokong pemberontakan di timur Ukraine. - Agensi


#konflik Rusia-Ukraine #rundingan damai Ukraine #perang Rusia-Ukraine #Marco Rubio