NEW DELHI: Mata wang rupee menjunam ke paras terendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan ketegangan ketenteraan yang semakin memuncak di Asia Barat menjejaskan pasaran saham India pada Khamis.
Rupee yang terbeban akibat aliran keluar dana asing dan kenaikan harga minyak mentah global sejak perang Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran bermula pada 28 Feb lepas, ditutup pada paras terendah 92.89 berbanding dolar Amerika Syarikat pada Rabu.
Advertisement
Walaupun pasaran pertukaran asing India ditutup bersempena cuti umum tempatan pada Khamis, kadar kontrak hadapan tanpa serahan (NDF) satu bulan bagi dolar AS berbanding rupee dilaporkan pada paras 93.46.
Saham India merosot ketara dalam dagangan pagi pada Khamis, dengan indeks BSE Sensex yang merangkumi 30 saham susut 2.5 peratus manakala indeks NSE Nifty yang merangkumi 50 saham turun 2.4 peratus.
Serangan Iran ke atas pepasangan tenaga utama di rantau itu, termasuk di Ras Laffan, Qatar selepas Israel menyerang kemudahan di medan gas South Pars Iran pada Rabu, telah mencetuskan kebimbangan baharu terhadap bekalan tenaga jangka panjang.
Harga minyak mentah penanda aras global Brent meningkat melepasi AS$110 setong susulan peningkatan permusuhan itu.
Bekalan minyak dan gas India dari Asia Barat turut terjejas akibat gangguan perkapalan di Selat Hormuz.
-- BERNAMA