Skip to main content

Dunia

Rusia akan bekalkan diesel ke pasaran AS, global - Trump

Presiden Trump memaklumkan, Rusia akan membekalkan lebih 300,000 tan diesel serta-merta ke pasaran AS dan global berikutan perbincangan beliau dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin. - Gambar Reuters
Presiden Trump memaklumkan, Rusia akan membekalkan lebih 300,000 tan diesel serta-merta ke pasaran AS dan global berikutan perbincangan beliau dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin. - Gambar Reuters

Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan pada Jumaat bahawa Rusia akan membekalkan lebih 300,000 tan diesel serta-merta ke pasaran AS dan global berikutan perbincangan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, lapor Anadolu Ajansi.

Trump menerusi platform Truth Social miliknya menyatakan, beliau telah menyelesaikan "perbincangan yang sangat berjaya" dengan Putin, yang membawa kepada perjanjian untuk meningkatkan bekalan diesel Rusia.

"Saya baru sahaja menyelesaikan perbincangan yang sangat berjaya dengan Presiden Vladimir Putin dari Rusia, yang mana dipersetujui bahawa Rusia akan membekalkan lebih 300,000 tan Bahan Api Diesel serta-merta ke Pasaran AS dan Global, tambahan 500,000 Tan lagi sepanjang bulan November, dan 1,000,000 Tan serta-merta selepas itu," kata Trump.

Beliau berkata, tambahan tiga juta tan lagi akan dihantar "dalam tempoh singkat," bergantung kepada keadaan loji penapisan diesel Rusia.

"Harga Diesel untuk rakyat Amerika dan juga seluruh Dunia akan turun pada kadar rekod, dan dengan pantas!" kata Trump.

Presiden itu menyifatkan penurunan harga bahan api sebagai keutamaan, terutamanya bagi petani, penternak dan pemandu trak Amerika.

Harga bahan api dan kesan rantaiannya terhadap ekonomi menjadi isu utama dalam pilihan raya pertengahan penggal Kongres AS yang dijadualkan pada 3 Nov, hanya beberapa minggu sahaja lagi.

Trump turut memetik apa yang disifatkannya sebagai "kawalan penuh" AS ke atas Selat Hormuz dan mengulangi bahawa Iran tidak akan dibenarkan membangunkan senjata nuklear.

Beliau kemudiannya memberitahu wartawan bahawa beliau "sangat gembira" mencapai kesepakatan itu sambil menambah: "Kami memerlukan harga minyak … yang sudah pun turun mendadak."

Tidak lama selepas pengumuman Trump, Jabatan Perbendaharaan AS menerusi platform media sosial X memaklumkan Pejabat Kawalan Aset Luar Negara (OFAC) "serta-merta mengeluarkan lesen am sementara bagi membenarkan pembekalan diesel Rusia ke pasaran global."

Perbendaharaan AS kemudiannya mengeluarkan lesen am yang membenarkan transaksi berkaitan penjualan, penghantaran, pemunggahan dan pengimportan bahan api diesel berasal dari Rusia sehingga 7 April tahun depan.

AS dan Israel melancarkan peperangan menentang Iran pada 28 Feb, yang mendorong Tehran membalas dengan serangan peluru berpandu dan dron di seluruh rantau itu sekali gus menutup Selat Hormuz.

Konflik berkenaan berlanjutan selama lebih tujuh bulan, menghentikan laluan trafik minyak komersial melalui laluan laut strategik itu dan melonjakkan harga tenaga global.

AS dan Iran menandatangani perjanjian rangka kerja pada Jun susulan usaha pengantaraan oleh Pakistan dan Qatar untuk menghentikan persengketaan serta membuka jalan untuk rundingan.

Pelaksanaan perjanjian itu bagaimanapun terhenti berikutan perselisihan faham, termasuk mengenai keselamatan dan pelayaran di Selat Hormuz.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement