Skip to main content

Dunia

Rusia ancam serangan baharu ke atas Kyiv, arah warga asing segera keluar

Russian strikes destroyed several buildings in the Ukrainian capital on Saturday
Serangan Rusia memusnahkan beberapa bangunan di ibu negara Ukraine pada Sabtu lalu. - Gambar Reuters

KYIV: Rusia mengeluarkan amaran akan melancarkan gelombang serangan baharu secara “sistematik” ke atas ibu negara Ukraine, Kyiv, hanya beberapa hari selepas melaksanakan antara serangan terbesar sejak perang bermula.

Kementerian Luar Rusia memaklumkan, serangan terbaharu itu akan menyasarkan pusat membuat keputusan, pos kawalan tentera serta kemudahan pembuatan dron di bandar berkenaan.

Moscow turut menggesa warga asing dan pegawai diplomatik supaya meninggalkan Kyiv dengan kadar segera, sambil memberi amaran agar menjauhi bangunan pentadbiran dan ketenteraan.

Ukraine menyifatkan ancaman tersebut sebagai “ugutan terang-terangan” dan menggesa sekutu antarabangsa meningkatkan tekanan terhadap Rusia.

Dalam kenyataan balas, Kyiv mendakwa amaran itu menunjukkan Rusia menjadikan serangan sebagai tekanan psikologi terhadap komuniti diplomatik.

Serangan Rusia ke atas Kyiv dilapor berterusan sejak perang tercetus, dengan risiko keselamatan kekal tinggi.

Dalam serangan berskala besar pada malam Sabtu, sekurang-kurangnya empat individu terbunuh manakala kira-kira 100 lagi cedera di Kyiv dan kawasan lain.

Rusia mendakwa tindakan itu sebagai reaksi terhadap serangan Ukraine di Starobilsk, manakala Kyiv menegaskan sasaran mereka adalah unit tentera, bukan orang awam.

Sejak gencatan senjata sementara berakhir awal bulan ini, Rusia melancarkan beberapa gelombang serangan udara menggunakan peluru berpandu dan dron ke atas Kyiv.

Dalam serangan terbaharu, Kyiv menjadi sasaran antara operasi udara terbesar sepanjang perang, dengan beberapa kawasan awam termasuk bangunan kediaman, pusat beli-belah dan kompleks kebudayaan mengalami kerosakan.

Rusia turut menggunakan peluru berpandu balistik, kruis serta dron dalam jumlah besar, selain melancarkan peluru berpandu hipersonik ke kawasan berhampiran.

Ukraine kini bergantung kepada sistem pertahanan udara berlapis untuk menangkis serangan, namun jumlah peluru berpandu dan dron yang digunakan Rusia sering kali mampu menembusi pertahanan itu. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement