INTERNATIONAL
Rusia dan Ukraine akan mulakan rundingan gencatan senjata serta-merta, kata Presiden Trump

Presiden Trump (kanan) menyifatkan perbualan beliau dengan Presiden Putin selama dua jam sebagai berlangsung dalam “nada dan semangat yang sangat baik.”
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan Rusia dan Ukraine akan “memulakan rundingan ke arah gencatan senjata serta-merta” selepas perbualan telefon selama dua jam dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
“Keadaan bagi pelaksanaan rundingan itu akan dibincangkan antara kedua-dua pihak, kerana hanya mereka yang mengetahui butiran perjanjian tersebut,” kata Trump menerusi platform Truth Social.
Dalam masa sama, Trump menyifatkan perbualan itu sebagai berlangsung dalam “nada dan semangat yang sangat baik.”
Menurut Trump lagi, Rusia berhasrat menjalinkan perdagangan berskala besar dengan Amerika Syarikat
sebaik sahaja “pertumpahan darah yang dahsyat” ini berakhir.“Saya bersetuju. Ini adalah peluang besar buat Rusia untuk mewujudkan pekerjaan dan kekayaan dalam jumlah yang besar. Potensinya tidak terbatas,” katanya sambil menambah bahawa Ukraine juga berpotensi menjadi penerima manfaat besar dalam perdagangan pada masa hadapan.
Trump berkata, beliau telah memaklumkan kandungan perbualan tersebut kepada beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy; Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen; Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni; Canselor Jerman, Friedrich Merz dan Presiden Finland, Alexander Stubb.
Beliau turut mendedahkan, pihak Vatican, yang diwakili oleh Pope telah menyatakan minat untuk menjadi tuan rumah kepada rundingan damai tersebut.
“Biarkan proses ini bermula!” katanya.
Panggilan telefon pada Isnin itu merupakan kali ketiga diketahui umum bahawa kedua-dua pemimpin tersebut berbual sejak Trump mengangkat sumpah sebagai ppresiden pada Januari lalu.
Perkembangan ini hadir ketika Trump dilihat semakin kecewa dengan keengganan Putin untuk mencapai perjanjian damai dengan Ukraine.
Dalam kenyataan sebelum ini kepada wartawan yang mengiringinya ke Abu Dhabi, Trump menegaskan, hanya beliau mampu menggerakkan rundingan damai yang kini terhenti.
Trump juga membayangkan ketidakhadiran Putin dalam rundingan di Turkiye sebelum ini adalah kerana Presiden AS itu sendiri tidak hadir.
Apabila ditanya Rabu lalu sama ada beliau masih percaya bahawa Putin “hanya mempermainkannya” dalam rundingan damai tersebut, Trump berkata: “Saya akan beritahu anda dalam masa seminggu, atau dalam beberapa hari lagi.”
Sebelum panggilan telefon itu berlangsung, Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt memaklumkan, Trump kini “semakin bosan dan kecewa dengan kedua-dua pihak dalam konflik tersebut.”
Fokus Trump, kata Leavitt, adalah untuk melihat gencatan senjata dicapai dan konflik ini berakhir segera. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami