Skip to main content

Dunia

Rusia hantar kapal tangki diesel pertama ke AS di bawah perjanjian Putin - Trump

Trump dan Putin bersetuju awal bulan ini untuk membenarkan penghantaran diesel Rusia ke AS, dengan Washington menggantung sementara sekatan sedia ada terhadap Moscow bagi memudahkan penghantaran berkenaan. - Gambar fail/ Reuters
Trump dan Putin bersetuju awal bulan ini untuk membenarkan penghantaran diesel Rusia ke AS, dengan Washington menggantung sementara sekatan sedia ada terhadap Moscow bagi memudahkan penghantaran berkenaan. - Gambar fail/ Reuters

Advertisement

MOSCOW: Rusia menghantar kapal tangki pertama yang membawa 40,000 tan diesel ke Amerika Syarikat (AS) di bawah perjanjian dengan Presiden Donald Trump, kata Kremlin pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata di Moscow bahawa penghantaran seterusnya akan menyusul.

Presiden Rusia, Vladimir Putin, mengumumkan permulaan penghantaran itu pada Rabu ketika mengadakan pertemuan dengan Utusan Khas AS, Steve Witkoff di St Petersburg.

Rusia tidak menolak kemungkinan menyambung semula eksport diesel ke negara lain, walaupun kerajaan menyatakan bahawa perkara itu bergantung pada kapasiti kilang penapisan minyaknya.

“Kami menjangkakan kapasiti pengeluaran penuh hanya dapat dicapai menjelang penghujung tahun ini dan selepas itu negara lain juga akan dapat menerima jumlah bekalan yang mereka terima sebelum ini,” kata Timbalan Perdana Menteri Alexander Novak yang bertanggungjawab terhadap dasar tenaga, awal minggu ini.

Trump dan Putin bersetuju awal bulan ini untuk membenarkan penghantaran diesel Rusia ke AS, dengan Washington menggantung sementara sekatan sedia ada terhadap Moscow bagi memudahkan penghantaran berkenaan.

Perjanjian itu mencetuskan kritikan hebat di peringkat antarabangsa, termasuk daripada Kesatuan Eropah (EU), Ukraine, Kerajaan Jerman dan beberapa anggota Kongres AS.

Bagaimanapun, Moscow menyifatkan perjanjian itu sebagai satu kemenangan ketika Ukraine berusaha menyekat pendapatan Rusia yang digunakan untuk membiayai perangnya. 

Putin turut berkata, perjanjian itu akan membantu menurunkan harga di pasaran global.

Kilang penapisan minyak Rusia sering menjadi sasaran dron tempur jarak jauh Ukraine. Kerja pembaikan mengehadkan kapasiti pengeluaran, sekali gus mendorong Moscow mengenakan larangan eksport petrol dan diesel.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement