MOSCOW: Rusia meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat bagi membincangkan letupan saluran paip gas Nord Stream di Laut Hitam.

Timbalan I Duta Rusia ke Majlis Keselamatan PBB, Dmitry Polyansky, menerusi Telegram pada Sabtu berkata Rusia telah meminta United Kingdom mengundang Denmark, Jerman dan Sweden supaya melaporkan siasatan mereka terhadap letupan yang berlaku di wilayah masing-masing, lapor Agensi Anadolu.

Letupan yang berlaku pada September tahun lepas menyasarkan Nord Stream 1 dan saluran paip Nord Stream 2 yang baru dibina, yang menyalurkan gas asli Rusia ke Jerman dan rantau Eropah melalui Laut Baltik.

Moscow menuduh Barat, khususnya Amerika Syarikat (AS) terlibat secara langsung dalam letupan itu.

Gesaannya supaya PBB mengetuai siasatan antarabangsa mengenai kemungkinan sabotaj telah ditolak.

Media AS melaporkan bahawa Washington menyedari rancangan Ukraine untuk meletupkan saluran paip gas itu tetapi Kyiv menafikan sebarang penglibatan.

-- BERNAMA