[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
DUNIA

Rusia sedia bantu Iran di tengah-tengah ketegangan di Asia Barat

Bernama 23/06/2025 | 22:30 MYT
Putin (kiri) berjabat tangan dengan Araghchi ketika mengadakan pertemuan di Kremlin, Moscow, Rusia, 23 Jun 2025. REUTERS
ISTANBUL: Rusia bersedia membantu Iran dalam pelbagai cara di tengah-tengah ketegangan yang berterusan di Timur Tengah, bergantung kepada keperluan Tehran, menurut Kremlin pada Isnin.
Menurut Anadolu Ajansi, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, Rusia telah menawarkan usaha pengantaraannya, namun semuanya bergantung kepada apa yang diperlukan oleh Iran.
"Kami telah menyatakan pendirian kami; ini juga adalah satu manifestasi penting, satu bentuk sokongan kepada pihak Iran," katanya.
Israel dan Iran telah terlibat dalam pertempuran udara sejak 13 Jun apabila Tel Aviv melancarkan serangan mengejut ke atas beberapa lokasi di seluruh Iran termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, sehingga mendorong Tehran melancarkan serangan balas.
Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) menyerang tiga kemudahan nuklear utama Iran awal pagi Ahad, dengan Presiden AS, Donald Trump mendakwa, serangan itu menyebabkan kerosakan teruk dan "pemusnahan."
Mengulas mengenai pertemuan antara Presiden Vladimir Putin dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi di Moscow, Peskov berkata, perbincangan itu memberi peluang untuk bertukar pandangan dan membolehkan Tehran memaklumkan cadangan serta visinya kepada Moscow berhubung situasi semasa.
Peskov berkata, jumlah pihak yang terlibat dalam ketegangan semasa semakin meningkat, dan perkara itu dikecam serta sangat dikesali oleh Rusia.
"Iran telah beberapa kali menjadi topik perbincangan antara Putin dan Trump dalam perbualan mereka baru-baru ini, namun Presiden Rusia tidak dimaklumkan mengenai serangan pada Ahad lepas.
Kami percaya bahawa nasib kepimpinan sesebuah negara harus ditentukan oleh rakyat negara itu sendiri, dan sama sekali bukan oleh negara ketiga atau kepimpinan negara ketiga," kata Peskov sebagai reaksi terhadap kenyataan Trump berhubung perubahan kepimpinan di Iran.
Beliau berkata, serangan AS ke atas Iran tidak akan menjejaskan dialog antara Moscow dan Washington kerana ia merupakan "proses yang berasingan."
"Masih perlu dilihat apa yang berlaku ke atas kemudahan nuklear ini, sama ada terdapat bahaya radiasi. Walaupun kami telah mendengar kenyataan daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bahawa tiada tanda pencemaran radiasi pada masa ini.
Namun, ini semua adalah persoalan yang tentunya menimbulkan kebimbangan," katanya lagi.
-- BERNAMA
#konflik Israel-Iran #Rusia #nuklear #abbas araghchi