Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Rusia sedia lanjutkan hubungan dengan AS mengikut keselesaan Washington - Lavrov

Bernama 27/10/2025 | 01:30 MYT
Moscow bersedia meneruskan hubungan dengan Amerika Syarikat mengikut kadar yang dirasakan sesuai oleh Washington, kata Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov. - Gambar fail Reuters
MOSCOW: Moscow bersedia meneruskan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) mengikut kadar yang dirasakan sesuai oleh Washington, kata Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov.

"Selepas perbualan saya dengan (Setiausaha Negara AS) Marco Rubio bagi meneliti hasil pertemuan di Alaska, beliau tidak menyebut mengenai sebarang mesyuarat atau perbualan baharu.

"Saya juga tidak membangkitkan perkara itu kerana keseluruhan inisiatif berkenaan datang daripada pihak Amerika Syarikat. Kami bersedia mengikut kadar yang mereka rasa selesa," kata Lavrov dalam temu bual bersama saluran YouTube Hungary Ultrahang, lapor agensi berita TASS.

Beliau berkata, perbualan telefon terbaharunya dengan diplomat tertinggi AS itu berlangsung selepas panggilan antara Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden AS, Donald Trump pada 16 Okt.

"Kami berbual secara khusus dan saya menegaskan semula komitmen penuh kami terhadap apa yang telah dibincangkan di Alaska serta persefahaman jelas yang dicapai oleh kedua-dua presiden ketika itu," kata Lavrov.

Sidang kemuncak di Alaska itu diadakan di sebuah pangkalan tentera berhampiran Anchorage pada pertengahan Ogos.

Pertemuan antara kedua-dua pemimpin Rusia dan AS itu berlangsung selama kira-kira tiga jam, termasuk sesi perbincangan empat mata di dalam limosin presiden AS ketika dalam perjalanan ke lokasi pertemuan, diikuti sesi tertutup bersama dua anggota delegasi dari setiap pihak.

Susulan panggilan telefon dengan Putin pada pertengahan Oktober, Trump mengumumkan bahawa kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mengadakan pertemuan tidak lama lagi di Budapest.

-- BERNAMA



#rusia-amerika syarikat #Donald Trump #Vladimir Putin #Sergey Lavrov