Rusia serang pelabuhan Laut Hitam Ukraine, dua kapal dagang turut jadi sasaran

Seorang anggota pengawal pantai Ukraine mengendalikan senjata di atas bot rondaan ketika sebuah kapal kargo melintas di Laut Hitam pada 7 Februari 2024. - Gambar fail Reuters
LAUT HITAM: Dua kapal dagang berdaftar di Panama, Emmakris III dan Captain Karam, diserang dron Rusia ketika memasuki pelabuhan Ukraine untuk memuatkan gandum, menurut Tentera Laut Ukraine.
Serangan turut menyasarkan pelabuhan Pivdennyi dan Chornomorsk serta tangki simpanan minyak, kata Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Oleksiy Kuleba.
“Ini adalah satu lagi serangan terancang Rusia terhadap infrastruktur pelabuhan awam. Musuh cuba mengganggu logistik dan menyulitkan penghantaran,” katanya.
Bagaimanapun, kedua-dua pelabuhan masih beroperasi, jelas beliau.
Wilayah Odesa dan kawasan sekitarnya menempatkan pelabuhan Laut Hitam yang menjadi nadi perdagangan luar Ukraine serta kelangsungan ekonomi ketika perang.
Ukraine merupakan pengeluar dan pengeksport utama produk pertanian dunia.
Sepanjang hampir empat tahun konflik, peranan Odesa bersama dua pelabuhan lain – Pivdennyi dan Chornomorsk – semakin penting selepas pelabuhan lain musnah, diduduki atau lumpuh akibat serangan Rusia.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, peperangan maritim antara Ukraine dan Rusia semakin memuncak, dengan kedua-dua pihak menyerang aset tentera laut dan komersial di Laut Hitam dan kawasan sekitarnya.
Ukraine kini semakin kerap menggunakan dron laut untuk menyerang kapal yang dikaitkan dengan armada bayangan Rusia, manakala Moscow meningkatkan serangan ke atas bandar Odesa dan infrastruktur pelabuhannya.
“Serangan ini mengancam nyawa orang awam dan menjejaskan keselamatan makanan global,” kata Tentera Laut Ukraine.
“Serangan terancang ke atas objek awam adalah jenayah perang yang disengajakan.” -
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


