MOSCOW: Rusia pada Selasa menyokong cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengenai gencatan senjata tenaga antara Moscow dan Kyiv, lapor Anadolu Ajansi.
Bercakap pada sidang media, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata Moscow kekal berhubung dengan Washington mengenai inisiatif itu.
“Secara keseluruhannya, kami sememangnya menganggapnya sebagai satu cadangan yang sangat baik,” katanya. “Kami berhubung dengan pihak AS dan akan terus berkomunikasi dengan mereka.”
Peskov menegaskan bahawa gencatan senjata tenaga serta langkah untuk memastikan operasi loji penapisan minyak yang selamat sahaja tidak akan menyelesaikan masalah utama yang menjejaskan pasaran produk petroleum global.
“Memastikan operasi loji penapisan yang selamat dan meningkatkan pengeluaran produk petroleum tidak menyelesaikan masalah global. Masalah utama ialah eksport produk petroleum ke pasaran dunia,” katanya.
Menurut beliau, Rusia melaksanakan langkah menyeluruh untuk melindungi loji penapisan dan kemudahan tenaga lain sambil menambah bahawa pasaran domestik negara itu “hampir mencapai bekalan penuh”.
Peskov turut menggesa sekatan terhadap bekalan tenaga ditarik balik dengan berkata langkah itu akan membantu meningkatkan ketersediaan produk petroleum di pasaran global dan menurunkan harga.
“Kami boleh memenuhi bekalan pasaran domestik, kami akan melakukannya dan sedang melakukannya,” katanya. “Namun bagi pasaran global, isu sebenar bukan pengeluaran.”
Beliau berkata akses lebih luas bagi produk petroleum Rusia ke pasaran antarabangsa juga memerlukan pelayaran komersial yang selamat bagi kapal tangki minyak.
Mengenai kemungkinan bekalan gas Rusia ke Eropah disambung semula, Peskov berkata Moscow boleh mempertimbangkannya sekiranya penghantaran itu memberikan manfaat dari segi ekonomi dan jumlah bekalan yang mencukupi tersedia.
-- BERNAMA-ANADOLU