INTERNATIONAL

Rusia teguh perangi ideologi Nazi, pertahan sejarah bangsa - Putin

Agensi 09/05/2025 | 23:15 MYT
Putin berkata, Rusia tidak akan berdiam diri terhadap cubaan menjustifikasi kezaliman atau memburukkan pihak yang sebenarnya menang dalam peperangan itu. - Foto Viory
MOSCOW: Rusia akan terus menjadi benteng kukuh menentang fahaman Nazi, Russophobia dan anti-Semitisme dengan menolak sebarang usaha menyeleweng fakta sejarah Perang Dunia Kedua.
Presiden Vladimir Putin menegaskan, Rusia tidak akan berdiam diri terhadap cubaan menjustifikasi kezaliman atau memburukkan pihak yang sebenarnya menang dalam peperangan itu.
Berucap sempena perarakan ketenteraan tahunan di Moscow bagi menyambut ulang tahun ke-80 kemenangan Kesatuan Soviet menewaskan Nazi Jerman, Putin berkata, Rusia akan terus menentang kekejaman yang dibawa ideologi ini.
Sambutan Hari Kemenangan tahun ini menyaksikan kehadiran pemimpin dari 27 negara, termasuk Presiden China Xi Jinping, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, Presiden Serbia Aleksandar Vucic, Perdana Menteri Slovakia Robert Fico dan Presiden Cuba Miguel Díaz-Canel.
Turut hadir ialah Presiden Belarus Alexander Lukashenko, Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi, Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam To Lam, Presiden Venezuela Nicolas Maduro dan Presiden Ethiopia Taye Atske Selassie.
Acara itu turut disertai kontinjen tentera asing dari 13 negara iaitu Azerbaijan, China, Mesir, Vietnam, Belarus, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Laos, Mongolia, Myanmar, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan.
Unit ketenteraan China dilaporkan sebagai kontinjen asing terbesar dalam perarakan tahun ini.
#Rusia #Soviet Union #Vladimir Putin #Nazi