DUNIA

Rusia tiada niat serang EU atau NATO, kata Menteri Luar

Astro Awani 27/09/2025 | 23:30 MYT
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov, berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-80. - Foto REUTERS
NEW YORK: Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov, menegaskan bahawa negaranya tidak mempunyai sebarang niat untuk menyerang negara anggota Kesatuan Eropah (EU) atau Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), meskipun ketegangan serantau semakin meningkat berikutan insiden pelanggaran ruang udara dan operasi ketenteraan yang mencetuskan kebimbangan di Eropah.


Ringkasan AI
  • Rusia tiada niat serang EU atau NATO, dakwaan tersebut disifatkan sebagai provokasi tidak berasas dan telah dinafikan berulang kali oleh Presiden Putin.
  • Ketegangan serantau meningkat susulan insiden pelanggaran ruang udara, namun Lavrov beri amaran bahawa tindakan bermusuhan akan dibalas tegas.
  • Rusia kekal terbuka untuk rundingan damai, sambil mengkritik tindakan Israel di Gaza dan menekankan keperluan jaminan keselamatan serta hak masyarakat berbahasa Rusia.


Dalam ucapan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Lavrov menyatakan bahawa tuduhan terhadap Rusia yang kononnya merancang serangan ke atas EU dan NATO adalah provokasi yang tidak berasas.

Beliau menegaskan bahawa Presiden Vladimir Putin telah berulang kali menafikan dakwaan tersebut dan menekankan bahawa Rusia tidak pernah dan tidak akan mempunyai niat sedemikian.

“Ancaman terhadap Rusia semakin kerap kedengaran, kononnya kami merancang menyerang NATO dan EU. Ini adalah provokasi yang telah dibantah secara konsisten oleh Presiden kami. Rusia tidak pernah mempunyai niat seperti itu,” kata Lavrov.
Namun beliau memberi amaran bahawa sebarang bentuk bermusuhan terhadap Rusia akan menerima tindak balas yang tegas dan pantas.

Kenyataan Lavrov hadir selepas beberapa insiden pelanggaran ruang udara yang didakwa melibatkan pesawat dan dron Rusia di Estonia, Poland, Romania dan Latvia.

NATO telah melancarkan misi pertahanan udara sebagai tindak balas terhadap pencerobohan tersebut, sementara Rusia menafikan penglibatan dan menyalahkan gangguan isyarat dari Ukraine sebagai punca insiden.

Lavrov turut menyentuh isu Asia Barat, mengkritik tindakan Israel di Gaza dan rancangan untuk mengilhak Tebing Barat, sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan dan berpotensi mencetuskan ketidakstabilan serantau.

Walaupun Rusia masih terlibat dalam konflik berpanjangan di Ukraine, Lavrov menyatakan bahawa Moscow kekal terbuka untuk rundingan damai, dengan syarat kebimbangan keselamatan Rusia dan hak masyarakat berbahasa Rusia turut diambil kira.

Kenyataan Lavrov ini dilihat sebagai usaha untuk meredakan ketegangan diplomatik dan menangkis persepsi bahawa Rusia sedang bersiap sedia untuk konfrontasi lebih besar dengan blok Barat.







#Sergei Lavrov #EU #NATO #serang