Rusia tidak beri suaka politik kepada Bashar

Astro Awani
Disember 23, 2012 07:00 MYT
Rusia mengulangi pendirian tidak akan memberikan suaka politik kepada Presiden Syria, Bashar Assad seandainya pemimpin berkenaan memilih untuk berundur.
Sebaliknya menurut menteri luar Rusia, Sergei Lavrov, Moscow mengalu-alukan tawaran mana-mana negara yang ingin memberikan perlindungan kepada Bashar.
Tegas Lavrov, Moscow pernah diminta oleh negara-negara di rantau Asia Barat untuk menyampaikan hasrat mereka mengenai kesudian menerima Bashar.
Bagaimanapun ujar Lavrov, Moscow menasihatkan negara-negara yang berminat itu untuk berurusan secara langsung dengan Bashar.
Pada masa sama, menteri luar Rusia itu turut menyelar kuasa-kuasa barat kerana kegagalan mereka memujuk kumpulan pembangkang mengadakan rundingan damai dengan kerajaan Syria.
Kuasa-kuasa barat, dakwa Lavrov, lebih berminat untuk menangkap Bashar daripada menyelamatkan nyawa rakyat yang tidak berdosa.
Kenyataan terbaru Moscow itu jelas menunjukkan rejim Bashar kini semakin hilang sokongan.
#Bashar Assad #Moscow #Presiden Syria #Rusia #Sergei Lavrov #suaka