INTERNATIONAL

Rusia tolak cadangan AS untuk tamatkan perang Ukraine

Astro Awani 02/04/2025 | 00:00 MYT
Sergei Ryabkov, menjelaskan cadangan AS masih belum memenuhi keperluan Rusia. - Foto X/Dagny Taggart
MOSCOW: Rusia menyatakan mereka tidak dapat menerima cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan perang di Ukraine dalam bentuk semasa.
Ini kerana ia gagal menangani isu-isu utama yang dianggap sebagai punca sebenar konflik oleh pihak Moscow.
Timbalan Menteri Luar Negeri Rusia, Sergei Ryabkov, menjelaskan cadangan AS masih belum memenuhi keperluan Rusia.
Kenyataannya turut mengesahkan bahawa perbezaan pendirian antara Washington dan Moscow masih belum dapat dirapatkan sejak Presiden Vladimir Putin memberi komen lebih dua minggu lalu.
Presiden AS, Donald Trump, kini menunjukkan tanda-tanda ketidaksabaran terhadap ketegaran Rusia.
Beliau dilaporkan kecewa dengan sikap Presiden Putin yang dilihat tidak bersedia mencapai persetujuan yang lebih menyeluruh.
Ryabkov menegaskan pihak Rusia masih belum melihat asas kukuh untuk meneruskan proses rundingan dan menyatakan cadangan dari Washington masih belum boleh diterima dalam bentuk semasanya.
Beliau turut menambah cadangan-cadangan tersebut tidak memberi ruang kepada tuntutan utama Rusia, khususnya berkenaan punca asas konflik, yang menurutnya sama sekali tidak disentuh dan mesti diselesaikan terlebih dahulu.
Sementara itu, Presiden Putin menegaskan beliau mahukan Ukraine menggugurkan sepenuhnya cita-cita untuk menyertai NATO.
Ini sekali gus membenarkan Rusia mengawal keempat-empat wilayah Ukraine yang telah diisytiharkan sebagai wilayahnya, serta menghadkan saiz ketenteraan Ukraine secara menyeluruh.
#Sergei Ryabkov #tamatkan perang #Ukraine #Vladimir Putin