INTERNATIONAL
Rusia, Ukraine tukar lebih 500 tawanan perang
Sekumpulan tentera Ukraine yang baru dibebaskan dibalut dengan bendera kebangsaan biru kuning. - Foto AP
UKRAINE dan Rusia melaksanakan pertukaran lebih 500 tawanan perang pada Sabtu, dalam siri pertukaran terbaru sejak pencerobohan besar-besaran Rusia bermula lebih tiga tahun lalu.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, menerusi satu hantaran di aplikasi Telegram berkata, seramai 277 anggota tentera Ukraine telah kembali ke tanah air selepas dibebaskan dari tahanan Rusia.
Kementerian Pertahanan Rusia pula memaklumkan 246 anggota tenteranya telah diserahkan oleh Kyiv, manakala 31 tawanan Ukraine yang cedera juga telah dipulangkan, bersama 15 tentera Rusia yang turut mengalami kecederaan.
Menurut kenyataan itu, kesemua tentera Rusia kini berada di Belarus, sekutu rapat Moscow, dalam konflik ini sebelum dipindahkan pulang ke Rusia.
Video yang dimuat naik oleh Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Parlimen Ukraine, Dmytro Lubinets, menunjukkan sekumpulan tentera Ukraine yang baru dibebaskan dibalut dengan bendera kebangsaan biru kuning di sebuah kawasan hutan, berdiri di sisi beberapa buah bas.
Mereka kemudian kelihatan duduk di atas permukaan tar sambil melaungkan slogan patriotik.
Lokasi sebenar tidak didedahkan atas sebab keselamatan.
Zelenskyy menyatakan sehingga kini, seramai 4,552 warga Ukraine termasuk anggota tentera dan orang awam telah dibebaskan sejak permulaan pencerobohan Rusia pada Februari 2022.
Kedua-dua pihak merakamkan penghargaan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas peranan penting mereka sebagai orang tengah dalam urusan pertukaran tawanan kali ini.
Pertukaran ini dilihat sebagai satu langkah kemanusiaan di tengah-tengah konflik yang masih berlarutan dan turut memberi sedikit harapan kepada keluarga mangsa yang masih ditahan.