[TERKINI] Amir Hamzah Jalankan Tugas Menteri Ekonomi Berkuat Kuasa Serta-Merta – RMK13 Jadi Tumpuan | Berita Lanjut di Sini
DUNIA

Rusia, Ukraine tukar lebih ramai tawanan perang di bawah Perjanjian Istanbul

Bernama 26/06/2025 | 22:30 MYT
Gambar yang dikeluarkan perkhidmatan media Briged Mekanize Ke-65 Ukraine menunjukkan anggota tentera Ukraine menghadiri latihan ketenteraan di wilayah Zaporizhzhia, Ukraine, pada 19 Jun lalu. - Gambar AP
MOSCOW: Moscow dan Kyiv pada Khamis bertukar satu lagi kumpulan tawanan perang di bawah Perjanjian Istanbul pada 2 Jun lepas, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Kementerian Pertahanan Rusia.
Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, tentera Rusia kini berada di Belarus di mana mereka menerima rawatan perubatan dan sokongan psikologi, tanpa memperincikan bilangan orang yang ditukar.
Semua orang yang pulang akan dipindahkan ke kemudahan perubatan di Rusia untuk rawatan dan pemulihan seterusnya, tambah kementerian itu.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy turut mengesahkan pertukaran itu sambil berkata, ramai daripada anggota tentera yang dibebaskan telah ditawan sejak 2022.
"Kami sedang melakukan segala-galanya untuk mencari semua orang, menyemak maklumat setiap nama. Kita mesti bawa semua rakyat kita pulang. Terima kasih kepada semua yang membantu kami dalam usaha ini," kata Zelenskyy di Telegram.
Rusia dan Ukraine bersetuju mengenai pertukaran tawanan baharu dan pemulangan ribuan mayat mangsa perang semasa rundingan di Istanbul pada 2 Jun.
Pusingan pertama rundingan di Istanbul, iaitu rundingan langsung pertama antara kedua-dua pihak yang bertelagah dalam tempoh tiga tahun, telah diadakan pada Mei.
-- BERNAMA
#konflik Rusia-Ukraine #tawanan perang #Perjanjian Istanbul #Volodymyr Zelenskyy #Vladimir Putin