MOSCOW: Rusia akan berusaha mendapatkan sokongan bagi pencalonannya sebagai pengerusi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) pada 2035, kata Duta Khas Kementerian Luar Rusia bagi G20 dan APEC Marat Berdyev pada Rabu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Kami telah memulakan usaha menerusi platform APEC sebagai sebahagian daripada rundingan di peringkat pegawai kanan forum ekonomi utama di rantau Asia-Pasifik ini,” tulis Berdyev di Telegram.
Beliau berkata tumpuan utama adalah kepada persiapan Sidang Kemuncak Pemimpin APEC di Shenzhen, China pada 18 hingga 19 Nov, yang dijangka dihadiri Presiden Rusia Vladimir Putin.
“Kami akan berusaha mendapatkan sokongan bagi pencalonan Rusia sebagai pengerusi APEC pada 2035, selain menggalakkan penyertaan lebih aktif rakan kongsi dalam dua acara utama di bawah naungan APEC,” kata beliau.
Berdyev berkata anggota APEC turut akan dimaklumkan mengenai sumbangan inisiatif Perkongsian Eurasia Raya dan Laluan Laut Utara kepada matlamat “integrasi antara integrasi”, liberalisasi perdagangan dan pelaburan serta pembentukan komuniti yang terbuka dan dinamik di rantau Asia-Pasifik.
Sidang Kemuncak APEC akan berlangsung di Shenzhen pada 18 hingga 19 Nov.
Berdyev sebelum ini berkata satu pertemuan dua hala antara pemimpin Rusia dan China dirancang di luar sidang kemuncak itu.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI