[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
INTERNATIONAL

Rusia usir dua diplomat Romania sebagai tindak balas - Kementerian Luar

Bernama 10/04/2025 | 06:01 MYT
Romania menuduh kedua-dua pegawai Rusia itu menjalankan aktiviti yang bertentangan dengan status diplomatik mereka. - Gambar fail/Unsplash
MOSCOW: Rusia mengusir dua diplomat Romania sebagai tindak balas terhadap keputusan Romania sebelum ini yang mengisytiharkan dua diplomat Rusia di Bucharest sebagai "persona non grata", lapor agensi berita TASS yang memetik kenyataan Kementerian Luar Rusia pada Selasa.
Kuasa Usaha Romania di Moscow, Liliana Burda dipanggil ke Kementerian Luar Rusia dan diberi nota rasmi yang memaklumkan bahawa atase pertahanan di Kedutaan Romania di Moscow serta timbalannya diisytiharkan sebagai "persona non grata".
"Tindakan ini adalah tindak balas terhadap keputusan tidak berasas Romania untuk mengisytiharkan atase tentera di Kedutaan Rusia di Bucharest dan pembantunya sebagai persona non grata," menurut kenyataan kementerian itu.
Krisis diplomatik antara kedua-dua negara tercetus pada 5 Mac, apabila Kementerian Luar Romania memanggil Kuasa Usaha Rusia di Bucharest, Yelena Kopnina bagi memaklumkan keputusan mengusir atase tentera Rusia serta pembantunya.
Romania menuduh kedua-dua pegawai itu menjalankan aktiviti yang bertentangan dengan status diplomatik mereka, sekali gus melanggar Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961.
Jurucakap Kementerian Luar Rusia Maria Zakharova kemudian menuduh Romania cuba mengaitkan krisis politik dalamannya dengan Rusia, sambil menyifatkan tindakan Romania sebagai usaha mengalihkan perhatian rakyat dengan menyalahkan pihak luar.
-- BERNAMA
#Moscow #usir diplomat Romania #persona non grata #Rusia