[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Rusuhan di Nepal ragut 51 nyawa, kerajaan tumbang - Polis

Astro Awani 12/09/2025 | 09:20 MYT
Asap tebal kelihatan dari pejabat pelbagai kementerian selepas bangunan tersebut dibakar dalam tunjuk perasaan membantah larangan media sosial dan rasuah di Kathmandu, Nepal, pada Selasa, 9 September 2025. -Gambar fail/AP
KATHMANDU: Sekurang-kurangnya 51 orang dilaporkan maut dalam siri protes antirasuah yang melanda Nepal minggu ini.


Ringkasan AI
  • Protes antirasuah di Nepal menyebabkan sekurang-kurangnya 51 kematian, termasuk penunjuk perasaan, polis dan tahanan yang melarikan diri.
  • Krisis politik memaksa Perdana Menteri meletak jawatan, dan tentera mengambil alih kawalan keselamatan serta mengenakan perintah berkurung.
  • Perbincangan sedang berlangsung untuk membentuk kerajaan interim, dengan bekas Ketua Hakim Negara Sushila Karki disebut sebagai calon utama.


Menurut Polis Nepal dalam kemas kini terbaharu, negara itu bergelut dengan krisis politik yang menyaksikan peletakan jawatan Perdana Menteri dan pengambilalihan kawalan keselamatan oleh pihak tentera.

Jurucakap Polis, Binod Ghimire, berkata jumlah korban termasuk 21 penunjuk perasaan dan tiga anggota polis, manakala selebihnya terdiri daripada tahanan yang terbunuh semasa atau selepas melarikan diri dari penjara dalam kekacauan yang berlaku di seluruh negara.

“Setakat ini, 51 orang telah terkorban dalam protes minggu ini,” katanya kepada AFP, sambil menambah bahawa lebih 13,500 tahanan telah melarikan diri dari pelbagai fasiliti penjara, dengan 12,533 masih bebas dan dalam buruan pihak berkuasa.

Protes tercetus pada 8 September selepas kerajaan mengenakan larangan ke atas media sosial, yang mencetuskan kemarahan rakyat terhadap amalan rasuah dan kelemahan tadbir urus.

Tindakan keras oleh pasukan keselamatan menyebabkan kematian puluhan penunjuk perasaan, kebanyakannya golongan belia yang digelar sebagai “Generasi Z”.

Pada 9 September, bangunan Parlimen dibakar oleh penunjuk perasaan, memaksa Perdana Menteri K.P. Sharma Oli meletak jawatan.

Tentera Nepal kemudiannya mengambil alih kawalan keselamatan negara dan mengenakan perintah berkurung di beberapa kawasan utama termasuk Lembah Kathmandu.

Tentera turut mengesahkan bahawa lebih 100 senjata api telah dirampas semula selepas dilaporkan dicuri semasa rusuhan, termasuk senjata automatik yang digunakan oleh penunjuk perasaan.

Perbincangan kini sedang berlangsung antara Presiden Nepal, wakil penunjuk perasaan, tokoh politik utama dan pihak tentera bagi membentuk pentadbiran interim.

Bekas Ketua Hakim Negara, Sushila Karki, disebut-sebut sebagai calon utama untuk mengetuai kerajaan sementara.








#Nepal #rusuhan #Penunjuk perasaan #51 kematian